KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa adalah antara tiga pemimpin bahagian Umno yang dipecat oleh parti itu malam tadi, demikian lapor FMT berdasarkan sumber yang dipetiknya.
Sumber yang rapat dengan Annuar sendiri pula mengesahkan perkara itu kepada Sabah Gazette awal pagi ini.
Semalam, dilaporkan Umno memecat seorang ketua bahagian dan ketua Wanita Umno dua bahagian kerana memburuk-burukkan parti dan menyokong lawan pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi yang memaklumkan kepada media mengenai pemecatan itu namun tidak mendedahkan identiti pemimpin parti tersebut.
Beberapa sumber Umno mendedahkan bahawa Annuar, bekas setiausaha agung Barisan Nasional adalah ketua bahagian yang dipecat.
Annuar, Ketua Umno Bahagian Ketereh, bersama Umno sejak 1979. Beliau digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15.
Annuar sebelum ini dilabel sebagai “mesra Bersatu” oleh penyokong Umno kerana desakan beliau untuk menyatukan parti itu dengan PAS dan Bersatu.
“Dua lagi yang dipecat adalah ketua Wanita bahagian Arau dan Maran,” kata satu sumber.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Arau dan Maran daripada Umno, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, turut digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu akhirnya mempertahankan kerusi mereka selepas bertanding pada PRU15 menggunakan logo Perikatan Nasional.
“Lebih ramai (pemimpin) akan dipecat (dalam masa) terdekat,” kata sumber itu seperti dilaporkan FMT.