KUALA LUMPUR: Kementerian wilayah persekutuan menyerahkan lesen penjaja dan gerai kepada ibu tunggal menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli yang kisahnya disiarkan FMT baru-baru ini (baca di sini).
Nurajahan Mariamah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mary, turut diberikan kunci untuk rumah flat barunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Chempaka, Jalan Kampung Pasir dengan kadar sewa RM124 sebulan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya memberikan bantuan jangka masa panjang kepada Mary untuk mengurangkan bebannya.
“Dengan adanya gerai, dia boleh menjalankan perniagaan dan menjual benda lain selain nasi lemak. Kami harap ia dapat membantu Mary menambah pendapatan bulanan dan paling penting dia mempunyai pekerjaan yang stabil iaitu sebagai peniaga berlesen.
“Kami memberikan lesen penjaja sementara kepadanya untuk beroperasi dalam masa terhad, iaitu dari 7 pagi hingga 10 pagi atas permintaannya,” katanya.
Peniaga lain di kawasan itu, Jenny, yang kesusahannya mencari rezeki ketika pandemik Covid-19 tular di media sosial, turut diberikan lesen sementara untuk menjalankan perniagaannya.
Bercakap kepada FMT, Mary berkata dia amat berterima kasih kepada bantuan diberikan dan memaklumkan menerima banyak panggilan daripada ramai orang yang ingin menghulurkan sumbangan apabila kisahnya disiarkan.
“Sebelum ini saya menolak troli dari rumah di Jalan Klang Lama ke Taman Desa Waterpark tetapi tidak dapat menjual semua nasi lemak itu.
“Tetapi sekarang, ramai orang menempah daripada saya. Ramai pelanggan, rakan dan juga menteri membantu saya. Saya sangat berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Selepas menerima gerai barunya, Mary berkata dia bercadang meluaskan perniagaan dengan menjual nasi lemak sambal ayam dan sotong.
“Saya ada pelan lain tetapi mahu fokus pada penyediaan gerai terlebih dahulu. Saya akan lihat macam mana, ia bergantung kepada perniagaan di sini,” katanya.
Mulai hari ini (Rabu), Mary akan menjual nasi lemak di Jalan Desa Utama dari 7 pagi, di depan bangunan Telekom Malaysia.
Wanita itu yang bekerja sebagai tukang cuci hilang pekerjaan pada Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Sejak itu, dia menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa dari 6.30 pagi hingga 11 pagi.
Dia memperoleh RM80 sehari hasil jualan nasi lemak dan bihun, selain menjual buah-buahan potong di sebuah restoran berdekatan pada sebelah petang untuk menambah pendapatan.
Mary kehilangan suami yang meninggal dunia akibat serangan jantung, 6 tahun lalu dan memikul tanggungjawab menjaga ibu dan 3 anaknya.
Sebelum ini, Mary memberitahu FMT dia berharap memiliki gerai suatu hari nanti dan impian itu kini menjadi kenyataan. – FMT