Anifah antara yang disebut-sebut bakal dilantik Speaker Dewan Negara

anifah.jpg

Tan Sri Anifah (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar, Tan Sri Anifah Aman adalah antara nama yang disebut-sebut untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Negara menjelang persidangan parlimen akan datang.

Menurut NST, seorang lagi yang turut disebut ialah bekas ahli parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal.

Jawatan Speaker Dewan Negara kosong bulan lalu berikutan pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagaiYang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Jan, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Difahamkan, pengumuman pelantikan Speaker Dewan Negara yang baharu dijangka dibuat pada 19 Feb.

NST dalam laporannya menyatakan berdasarkan spekulasi Mutang adalah pilihan utama bagi jawatan itu.

Mutang adalah Ahli Parlimen Bukit Mas (kini dinamakan Lawas) dari 1982 hingga 1990. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya.

Sementara Anifah pula berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Beaufort dari 1999 hingga 2004, dan sebagai Ahli Parlimen Kimanis dari 2004 hingga 2013, dan memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Falsafah, Ekonomi dan Undang-undang dari Universiti Buckingham.

“Mutang dan Anifah bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu,” lapor NST lagi.

Sebelum ini, sebuah portal dalam talian melaporkan seorang bekas ahli parlimen Sarawak yang berkhidmat dari 1982 hingga 1990 dikhabarkan akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Wan Junaidi.

Difahamkan juga individu yang mempunyai latar belakang undang-undang itu juga telah menerima watikah pelantikan itu, namun menunggu pengumuman rasmi pada 19 Feb.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan membuat pengumuman mengenai pelantikan Speaker Dewan Negara dalam masa terdekat.

Fahmi berkata kabinet telah membincangkan perkara itu dan telah memutuskan nama yang dipilih untuk jawatan itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top