Anifah Aman kecewa masalah air Labuan berlarutan, sukar tarik pelabur

anifah-Dewan-Negara.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Segala peruntukan di bawah Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 kelihatan cantik dan enak didengar, tetapi bagi rakyat Labuan, ia tidak membawa makna apa-apa, tegas Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman.

Ketika berucap membahas akta tersebut di Dewan Negara pada Selasa, bekas Menteri Luar itu berkata, beliau hairan mengapa masalah air di Labuan masih terjadi, biarpun ia terletak di bawah Menteri Wilayah Persekutuan yang silih berganti.

Anifah berkata, masalah air yang membelenggu Labuan menyebabkan sukar untuk menarik kedatangan pelabur asing, sekali gus menggugat perancangan untuk membangunkan pulau itu ke tahap seterusnya.

“Masalah air Labuan simple (mudah), pertamanya tentang kerja-kerja pembaikan paip air bocor, yang sudah terjadi 30 – 40 tahun. Kedua, peruntukan… tak ada peruntukan tak boleh buat maintenance (penyelenggaraan), kalau tak boleh buat maintenance, rakyat yang menderita.

“Kini saya sekarang dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan. Saya mahukan pelabur. Saya jemput pelabur, dan tiga Fortune 500 syarikat datang. Tapi bila kita beri taklimat dia tanya itu ini, kita tidak boleh menyembunyikan fakta yang air tidak mencukupi di Labuan,” katanya lagi.

Anifah berkata, walaupun begitu, bagi rakyat Labuan beliau mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memperuntukkan RM1.1 bilion bagi kerja-kerja pembaikan bekalan air di beberapa negeri, termasuk Labuan.

Bagaimanapun tegasnya lagi, rakyat Labuan tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka berasa ragu-ragu melihat projek tersebut boleh menjadi realiti.

“Saya katakan di sebalik semua pindaan ini datang ke Labuan, lihat dan tengok keperitan rakyat Labuan. Baru mengerti. Kita berucap di Dewan yang mulia ini, jawab soalan, tapi penderitaan rakyat Labuan tidak dirasai pemimpin, maka tidak ada ertinya semua ini.

“Saya berterima kasih ini pertama kali Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan menyediakan peruntukan RM1.1 bilion untuk Kelantan, Sabah, termasuk Labuan. Terima kasih banyak-banyak. Sekurang-kurangnya ada cahaya di hujung terowong.

“Tapi lagi penting, pastikan ada duit semua, kita laksana dengan baik. Dan saya harap kalau ikut tender, pastikan tender terbuka, jangan ada campur tangan politik, dapatkan kontraktor yang terbaik supaya masalah air Labuan, mungkin 100 peratus tak dapat diselesaikan, tapi ada perbezaan,” katanya lagi.

Persidangan Dewan Rakyat 13 Oktober lepas meluluskan rang undang-undang bagi meminda Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) yang bertujuan memperkemas tadbir urus dan memperkukuh integriti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 25 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top