Anifah Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Ke Atas Presiden Warisan Selepas PRN

anifah-aman-shafie-apdal-collage-110620-1.jpg

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anifah Aman tidak mahu terjerumus dalam kempen kotor Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal terhadap diri beliau dan keluarganya.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang setelah pilihan raya,” tegas Anifah.

Borneo News dalam edisi Bahasa Inggerisnya melaporkan Anifah berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap dakwaan Shafie bahawa beliau, abangnya dan ahli keluarganya, telah memperoleh kontrak 100 tahun untuk tanah milik Yayasan Sabah.

Anifah, yang merupakan presiden Parti Cinta Sabah (PCS), menyanggah keras tuduhan itu, dengan mengatakan bahawa beliau tidak percaya Shafie akan meletakkan diri ke tahap begitu rendah untuk membunuh karektornya dan keluarganya hanya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

“Adakah dia takut pada saya?” beliau bertanya

Portal itu seterusnya melaporkan bahawa Anifah berkata, apa yang Shafie lakukan hanya menunjukkan betapa putus asanya Warisan untuk memenangi pilihan raya negeri 26 September nanti.

“Nampaknya Warisan tidak yakin dengan pemerintahan mereka sendiri sehingga mereka harus menggunakan kempen memburuk-burukkan (lawan) ,” kata Anifah, yang juga mantan Menteri Luar Negeri.

Beliau berkata bahawa Shafie tiada etika dan tidak profesional dan menasihatinya untuk berhenti bermain kotor dengan menyerang keluarga orang lain.

Namun, Anifah mengatakan bahawa dia tidak akan membuang masa terhadap Ahli Parlimen Semporna itu.

“Saya akan menangani masalah ini selepas pilihan raya.”

“Buat masa ini, apa yang penting bagi saya adalah memberi tumpuan kepada rakyat Sabah,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya akan mengeluarkan manifestonya yang merupakan “Aku Janji” untuk rakyat Sabah malam ini.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top