KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (gambar) menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berpegang pada prinsipnya dalam menunaikan ikrarnya untuk tidak memasukkan pemimpin yang dicemari skandal dalam Kabinetnya .
Dalam hantaran Facebook, Hassan mengimbau semula Anwar berulang kali memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau “tidak akan menggadai prinsip demi kuasa.“
Ahli Parlimen PKR yang terkenal kerana kelantangannya itu juga berasa malu pada diri sendiri untuk terus mengungkap kata keramat ‘reformasi’ yang diperjuangkan selama suku abad.
Beliau malah berkata berkata separuh jiwanya telah mati dan merasa tewas dengan kemenangan tanpa integriti.
Hassan, dalam sebuah puisi, mengimbas kembali bagaimana Anwar sentiasa memberi jaminan kepada pengundi bahawa beliau tidak akan “memperdagangkan prinsip dengan kuasa”.
Hassan berkata berbekalkan keyakinan penuh terhadap jaminan ini, beliau telah menyebarkan mesej “ke setiap pelusuk tanah tercinta ini”, menggesa orang ramai menyokong seruan reformasi.
Puisi Hassan itu dimuat naik selang beberapa hari selepas pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri Jumaat lalu yang dipertikaian oleh pelbagai pihak, baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang.
Ini termasuk pelantikan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.
Berikut puisi penuh Hassan yang boleh diakses di laman FB beliau:
KUSIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
|Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini
HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022