Anggota Keselamatan Antara Tujuh Didakwa Edar Dadah

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Tujuh lelaki, termasuk dua penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu pada 20 dan 21 Mac lalu.

Tertuduh terdiri daripada lima orang awam, Azalan Hasanuddin, 34; Radi Etma Marzuki, 34; Zaini Paleksi, 59; Mohd Rashidee Khamis, 30; dan Mohd Nurhaq Amat, 29.

Dua lagi tertuduh, Rizal Ramli, 34, yang juga anggota Tentera Darat dan Mohd Hairul Kaz Oto, 36, dari Pasukan Gerakan Am (PGA) masing-masing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan bagi semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Azalan, Radi, Zaini, Mohd Rashidee dan Mohd Nurhaq secara bersama didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 103.4 gram di Lorong 19, Taman Ria Height, di sini, jam 2.00 pagi pada 20 Mac lalu.

Rizal dan Mohd Hairul pula diituduh mengedar dadah jenis sama (Methamphetamine) seberat 1,177.5 gram di kawasan sebuah hotel, di Lorong Abaca, dekat pusat bandar, di sini, jam 12.30 tengah malam, pada 21 Mac lalu.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding sama, Azalan, Radi, Zaini, Mohd Rashidee dan Mohd Nurhaq turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 di bawah Seksyen 15(1) akta sama dan diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh tidak lebih tiga tahun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 dan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top