Anggaran Jumlah Terimaan Pelancongan Sabah Menyusut 88 Peratus

DUN-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Anggaran jumlah terimaan pelancongan (tourism receipt) di Sabah dalam enam bulan pertama tahun 2021 menyusut dengan ketara sebanyak 88 peratus, iaitu bersamaan dengan RM1.28 bilion kepada RM174 juta sahaja berbanding RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2020.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Sabah Tourism Recovery Roadmap sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, antara pendekatan yang diambil di bawah pelan pemulihan tersebut ialah memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Di samping itu, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam di negeri ini akan terus diberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan kembali industri pelancongan, sekaligus memberi kesedaran kepada orang awam tentang perimustahaknya pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam, agar dapat dinikmati dan dimanfaat oleh setiap golongan masyarakat, termasuk generasi yang akan datang.

“Salah satu khazanah budaya yang kini dalam pemerhatian dan bakal melalui proses pemuliharaan ialah Wisma Radio Sabah iaitu bangunan yang terletak di kilometer 2.4 Jalan Tuaran, yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kompleks RTM Sabah.

“Bangunan lama Wisma Radio Sabah tersebut mula dijadikan pusat penyiaran radio pada awal 1960-an dan pernah menempatkan Persidangan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962, berhubung penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Kini kawasan tersebut sedang dalam proses tuntutan semula oleh Kerajaan Negeri sesuai dengan nilai sejarahnya dan pengiktirafan sebagai Khazanah Budaya Negeri oleh Kerajaan Negeri Sabah bermula pada September 2017. Syabas diucapkan kepada Radio Sabah Alumni Association (RASA) yang telah memperjuangkan pengekalan dan pemuliharaan bangunan berkenaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sini pada Selasa. – Warta Oriental

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top