KUALA LUMPUR: Pencerobohan lanun yang sering mengancam kegiatan penduduk di perairan pantai timur Sabah kini “hampir tiada”, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, ia hasil pemantauan rapi di sempadan bermula dari Simpang Mengayau hingga Semporna oleh pasukan keselamatan yang digilirkan setiap tiga bulan.
Menurut FMT Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) di Dewan Rakyat hari ini.
Andi meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan situasi terkini perairan pantai timur Sabah sepanjang 1,733km meliputi 361 pulau daripada ancaman lanun.
Mohamad juga dilaporkan berkata, pemantauan dibuat Rejimen 1, Rejimen Sempadan, Batalion 10 Rejimen Renjer Diraja dan 10 Briged Para, semuanya antara pasukan terbaik dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, Kementerian Pertahanan sedang dalam perolehan menambah 16 hingga 20 unit bot pemintas laju, yang boleh menandingi bot laju digunakan lanun atau penyeludup.
“Kegiatan lanun hampir dah tak ada kerana wujudnya dasar kita mengawal sempadan begitu rapi.
“Setiap masa ada enam zon berbeza yang dijaga oleh pelbagai tumbukan (pasukan), termasuk tentera udara, tentera laut, selain rejimen askar Melayu,” katanya.
Mohamad berkata, kawasan sempadan negara khususnya di Laut Sulu juga sentiasa dipantau rapi secara bersama oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.
“Daripada maklum balas, aktiviti culik atau ambil wang telah amat berkurangan. Semasa saya berada di Pulau Berhala (Sandakan), penduduk di sana gembira mereka boleh keluar ke laut sekarang tanpa ada ancaman.
“Kalau tak dulu mereka ini diculik dan terpaksa bayar pampasan dan peralatan perikanan mereka dirampas. Jadi kawasan pantai timur Sabah akan berada dalam kawasan amat selamat dan kehidupan seharian dapat dijalankan seperti biasa,” katanya.