Analisis Kerusi Parlimen Negeri Sabah: P.171 SEPANGGAR -Bhgn 1

jumat-vs-azis.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Musli Oli

1.Parlimen Sepanggar merupakan satu kawasan baharu selepas persempadanan semula pada tahun 2000. Secara tradisi parlimen Sepanggar merupakan kubu parti SAPP kerana salah satu kerusi DUN dalam parlimen Sepanggar iaitu DUN Likas telah diwakili Datuk Yong Teck Lee sejak 1985. Yong menawan kerusi Likas melalui tiket PBS. Tetapi pada 1994 Yong Teck Lee keluar dari parti itu dan menubuhkan Sabah Progressive Party atau SAPP dan menjadi anggota BN. Presiden SAPP itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah melalui Sistem Penggiliran Ketua Menteri Sabah daripada tahun 1994-1996.

2. Pada PRU 2004, BN meletakkan calon dari SAPP  Datuk Eric Mojimbun menentang calon PKR Saidatul Badru Tun Said. Eric menang dengan kelebihan undi 11,128. Eric mendapat 16,226 undi berbanding 5098 undi yang diperoleh calon PKR. Pada PRU 2008 sekali lagi Eric dipilih mewakili BN dan dicabar oleh PKR dan DAP. Eric mendapat 16,884, calon PKR Mohamad Ibrahim bin Abdullah@Yembun mendapat 5423 undi.  Calon DAP Ewol bin Muji 3709 undi. Kelebihan undi 12,461.

3. Sungguhpun Parlimen Sepanggar terletak dalam kawasan pinggir bandar, pengundi yang majoriti adalah pengundi Bumiputera. Jumlah peratusan Bumiputera Islam dan Bumiputera Bukan Islam adalah seimbang. Manakala pengundi Cina kurang daripada 30%. Sebagai kawasan pinggir bandar dianggarkan 30% pengundi di parlimen Sepanggar bukan penduduk asal. Ada yang berasal dari daerah berdekatan seperti Tuaran, Kota Belud, atau Papar. Ada juga dari Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Tawau, Sandakan dan Semporna.  Saya menganggarkan peratusan yang signikan pengundi muda di parlimen Sepanggar terdiri daripada generasi kedua atau ketiga penduduk yang telah berhijrah dari daerah lain. Oleh kerana pola pengundi dari pelbagai latar belakang menyebabkan sikap pengundi parlimen Sepanggar sukar diramal.

4. Pada PRU 2013, buat pertama kali parti Umno diberi mandat mewakili BN bertanding di parlimen Sepanggar setelah parti SAPP keluar dari BN. Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang merupakan penduduk asal Sepanggar dicabar tiga calon: Chin Hon Kiong dari SAPP,  Daniel John Jambun dari STAR dan Jeffrey Kumin dari DAP. Jumat mendapat 22,845 undi, DAP mendapat 13,403. Calon SAPP dan STAR hilang deposit. Majoriti sebanyak 9442 undi.

5. Pada PRU 2018, Datuk Jumat Idris yang telah digantung keahlian dari Umno tidak dipilih bertanding. Calon BN-Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menentang tiga calon: Dato Azis Jamman dari Warisan, Jeffrey Kumin dari SAPP dan Robert Sopining dari PCS. Warisan telah berjaya merampas parlimen Sepanggar dengan majoriti 12,984 undi. Azis Jamman mendapat  28,420. Rahman Dahlan memperolehi 15,436 undi. Calon SAPP dan PCS hilang deposit.

6. Perlu diambil perhatian, dua calon yang mendapat undi terbanyak mewakili Warisan dan BN bukanlah penduduk asal parlimen Sepanggar. Tetapi kedua calon itu mendapat lebih 70% undi. Sejumlah 46% mengundi Warisan dan 27% lagi mengundi BN. Persoalannya apakah trend ini ini berterusan pada PRU akan datang? Apakah  Warisan dapat mengekalkan sokongan di Sepanggar? Apakah strategi GRS untuk menawan semula kerusi parlimen tersebut? Mungkin calon dari kalangan pemimpin tempatan dan penduduk asal Sepanggar memberi kelebihan kepada GRS. Jika demikian, mungkinkah Datuk Jumat Idris akan membuat comeback? Atau Umno beri laluan kepada pemimpin muda seperti Ketua Pemuda Umno Sabah Ir Aziz Zulkarnain atau Ketua Puteri Negeri Dr Fadilah @Dila Sabri? Jika PPBM letak calon nama Bob yang teratas sekali.

Siapa Bob? Kita akan bincang isu tersebut dalam Bahagian kedua esok.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top