Oleh: Musli Oli
1.Pada PRU 2008 Datuk Wilfred Mojilip Bumburing (gambar, kiri) telah menggantikan Datuk Madius Tangau (gambar, kanan) sebagai calon BN untuk kerusi parlimen Tuaran. Timbalan Presiden UPKO itu dicabar dua calon, dari PKR dan calon Bebas. Bumburing mendapat 17,645 undi. Calon PKR Ansari Abdullah mendapat 11,023 manakala Ajin Gagah calon Bebas 879 undi. Kelebihan undi sebanyak 6622. Pada PRU berikutnya iaitu pada tahun 2013 berlaku lagi ‘twist and turn’ di Tuaran. Menjelang pembubaran parlimen Datuk Wilfred Mojilip Bumburing keluar dari UPKO dan menubuhkan sebuah NGO yang menyokong PKR. Turut keluar pada masa itu termasuk Timbalan Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen Beaufort merangkap Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Lajim Ukin.
2. PRU 2013 merupakan pilihan raya yang sengit di Sabah. Beberapa pemimpin Umno telah menyertai PKR. Ini termasuklah Datuk Yahaya Lampong yang bertanding di parlimen Papar dan Tan Sri Ibrahim Menudin bertanding di Labuan. Di Tuaran, Bumburing mewakili PKR bertembung dengan mantan calon BN-UPKO Madius Tangau dan calon dari parti STAR serta calon Bebas. Madius merampas kerusi Tuaran dengan majoriti 5190 undi. Madius mendapat undi 20,685. Bumburing mendapat 15,495 undi. Samin Dulin dari parti STAR 1509, manakala Erveana Ansari, calon Bebas mendapat 2264 undi.
3. Pada PRU 2018, Madius Tangau sekali lagi diberi kepercayaan mewakili BN dalam persaingan lima penjuru. Madius mendapat 22,494 undi menang dengan majoriti 7624 undi menewaskan Chrisnadia Sinam dari PKR yang mendapat 14,870 undi. Syra Peter@ P.Gom dari PHRS mendapat 2311, Datuk Kalakau Untol dari PCS 2611 dan calon PAS Aminuddin Aling mendapat 1357 undi.
4. Menurut sumber dari Umno Sabah, pada PRU akan datang atas permintaan Ketua Menteri Sabah parti PPBM akan dipilih mewakili GRS. Manakala parlimen Kota Belud akan kekal dipertahan parti Umno. Keputusan parti-parti yang bertanding bagaimanapun belum lagi muktamad. Sama ada Ketua Menteri Sabah sendiri akan bertanding atau memilih calon lain dari parti PPBM, hanya akan diketahui selepas perbincangan akhir parti-parti komponen dalam GRS dan PN. Saya sekadar meramal seorang pemimpin muda dari KDM akan diberi kepercayaan mewakili PPBM.

Datuk Aliasgar
5. Kerusi parlimen Tuaran boleh ditawan mudah jika UPKO masih mempertahan kerusi tersebut berdasarkan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri September tahun lalu. Madius sendiri tewas mudah di DUN Kiulu. Bagaimanapun ada pendapat menghujah jika Warisan meletakkan calon dari kalangan bumiputera Islam, besar kemungkinan berlaku persaingan sengit dengan mengambil kira sokongan KDM dan kaum Cina masih memihak kepada Warisan. Strategi meletakkan calon bumiputera Islam sudah tentu akan meningkatkan sokongan pengundi bumiputera Islam dan menambah peluang kemenangan kepada Warisan. Salah seorang pemimpin yang melobi bertanding jika Warisan menggantikan UPKO ialah Datuk Aliasgar Hj Basri. Pada pilihan raya negeri September tahun lalu Aliasgar tewas kepada Datuk Hajiji Hj Noor di kerusi Sulaman dengan majoriti sebanyak 3099 undi.
Esok Parlimen P.171 Sepanggar