Analisis Kerusi Parlimen Negeri Sabah: P.170 TUARAN – Bhgn 1

tuaran.jpg
Kongsi Bersama

1.Seperti parlimen Kota Belud, saya mulakan analisis parlimen Tuaran lebih awal iaitu pada PRU 1986. Ini kerana sejarah politik Tuaran sedikit unik. Banyak ‘twist and turn’. Calon yang sama boleh bertanding atas tikit parti lain pada PRU berikutnya. Oleh kerana majoriti pengundi di kawasan parlimen Tuaran adalah suku Kadazandusun (KDM) maka kawasan itu menjadi rebutan parti-parti Kadazandusun based seperti PBS, PDS (selepas itu UPKO), STAR, PCS dan lain-lain seperti parti PASOK. Tuaran merupakan salah satu kawasan parlimen di Sabah selain Penampang dan Keningau berjaya melahirkan ramai pemimpin KDM yang berwibawa sejak awal merdeka seperti Indan Kari( Tun Hamdan Abdullah), Datuk Dr James Ongkili, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing, Datuk Monggoh Orow, Datuk Kalakau Untol, Datuk Madius Tangau, Datuk Jasnie Gindug dan ramai lagi yang pernah menjadi pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan.

2. Kawasan Parlimen Tuaran merangkumi 4 kawasan DUN. Tamparuli, Kiulu, Sulaman dan Pantai Dalit (DUN baharu). Pada pilihan raya negeri September 2020 lalu, semua 4 kerusi DUN parlimen Tuaran dimenangi parti-parti komponen GRS. PBS menang di Tamparuli dan Kiulu, PPBM di Sulaman dan BN-Umno di Pantai Dalit. Presiden UPKO merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah dan penyandang kerusi parlimen Tuaran selama 4 penggal, Datuk Madius Tangau tewas kepada Joniston Bangkuai di Kiulu. Pada PRU akan datang, Presiden UPKO itu dijangka mempertahan kerusinya.

3. Pada PRU 1986, Datuk Kalakau Untol bertanding atas tikit BN-PBS melawan tiga calun  dari parti BERJAYA dan dua calon Bebas. Kalakau mendapat 7079 undi. Datuk Monggoh Orow dari Bebas 4536, Ansari Abdullah dari BERJAYA 2164 dan Geoffrey Gaban juga Bebas 364. Kalakau menang dengan kelebihan 2543 majoriti. Kalakau kemudian dilantik Timbalan Menteri dalam Kabinet Persekutuan. Pada PRU 1990, Kalakau Untol telah keluar dari PBS dan menyertai AKAR. Tempatnya digantikan Datuk Monggoh Orow yang bertanding atas tikit PBS. Monggoh menang dalam persaingan satu lawan satu dengan calon AKAR. Monggoh perolehi majoriti 7174 undi. Beliau mendapat 12,065 undi. David Ubing bin Pangiran dari AKAR mendapat 4891.

4. PRU 1995, berlaku ‘twist’ sekali lagi. Kali ini Datuk Monggoh Orow pula tinggalkan PBS dan menyertai BN serta bertanding atas tikit BN menentang calon dari PBS. Monggoh mendapat 10,342 tetapi Yunof Maringking dari PBS 12,912 menang dengan kelebihan undi 2570.

5. Sangat menarik politik Tuaran. Pada PRU 1999 muncul seorang muka baharu di parlimen Tuaran. Buat pertama kali, Setiausaha Agung parti UPKO Dr Madius Tanggau bertanding kerusi Tuaran mewakili BN menentang calon dari PBS Yunof Maringking. Wilfred Madius Tangau mendapat 13,083 undi menang dengan kelebihan undi 2813. Calon PBS mendapat 10,270 dan seorang calon Bebas Rubiah F. Ayid 185 undi dan hilangdeposit. Pada PRU 2004, Madius Tanggau dipilih semula mewakili BN-UPKO menentang calon PKR, Hj Ansari Abdullah. Madius mendapat 17354 undi menang dengan majoriti 8499. Ansari memperolehi 8855 undi.

6. PRU 2008, 2013 dan 2018 akan bersambung esok dalam Bahagian 2. Parti apakah dari komponen GRS yang berpeluang bertanding di parlimen Tuaran. PBS, PPBM, Umno atau STAR?Siapakah pemimpin yang layak. Mungkinkah KM Sabah akan masuk gelanggang parlimen untuk pastikan Tuaran kembali kepada parti pemerintah? Apakah Ketua Umno Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan diberi laluan GRS untuk kembali ke Dewan Rakyat? Tunggu ulasan seterusnya esok.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top