Oleh: Musli Oli
1. Kawasan Parlimen Kota Belud merangkumi 4 kawasan DUN; Usukan, Tempasuk, Kadamaian dan DUN baru Pintasan. Dalam pilihanraya negeri September tahun 2020, Usukan dan Tempasuk dipertahan calon-calon BN-Umno. Datuk Seri Salleh Tun Said mempertahan Usukan manakala muka baru Arshad Bistari menang di Tempasuk. Pintasan dimenangi seorang anak muda, juga seorang muka baru dari PN-PPBM, Fairuz Renddan. DUN Kadamaian kekal dipertahan calon UPKO.
2. Saya mengambil PRU 1986 sebagai rujukan analisis untuk menunjukkan sedikit perbezaan suasana politik 5 tahun sebelum kehadiran parti Umno yang bertapak di Sabah melalui parlimen Kota Belud. Umno yang diwakili Tun Mustapha pertama kali bertanding di Usukan dalam satu pilihan raya kecil pada 1991. Dalam PRK Usukan itu Umno menang kerusi pertama di Sabah. Pada PRU 1986 buat pertama kali parti PAS sebuah parti nasional bertanding di Sabah. Salah seorang calon PAS Jamlidi Oli bertanding di parlimen Kota Belud. Beliau memperolehi 3629 undi. Tetapi tewas kepada calon BN-PBS Datuk Maidom Pansai yang mendapat 8155 dan calon dari parti BERJAYA Yapin Gimpoton 4384. Seorang calon Bebas Asmara Haji Mohd Bilin mendapat 224 undi dan hilang deposit. PBS menang dengan kelebihan 3771 undi. Sayugia diingat, kebanyakan undi PAS adalah undi protes daripada penyokong USNO kerana calon PAS merupakan Setiausaha kerja Pemuda USNO tetapi USNO tidak dibenarkan bertanding kerana menjadi anggota komponen BN bersama PBS.
3. Pada PRU 1990 seorang lagi pemimpin USNO bertanding. Kali ini atas tikit Bebas. USNO mengambil keputusan bertanding atas tikit Bebas setelah PBS mengumum keluar dari Barisan Nasional (BN) sehari sebelum penamaan calon. Parti USNO tidak sempat membuat persediaan. Parti itu meletakkan 6 atau 8 calon Bebas parlimen di seluruh Sabah. Lamshil Amidsor mendapat 9377 undi. Tewas dengan kelebihan undi 2124 kepada Maidom Pansai 11,501. Seorang lagi calon Bebas, Datu Mohd Gelungan bin Omar 224 dan hilang deposit.
4. Pada PRU 1995 buat pertama kalinya parti Umno bertanding kerusi parlimen di Sabah. Di parlimen Kota Belud, Umno mewakili BN bertembung satu lawan satu dengan PBS. Calon BN-Umno, ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said mendapat 17,368 undi menewaskan Herbert Timbun Lagadan 10,237 undi. Majoriti kemenangan 7131 undi. Diseluruh Sabah semua kerusi yang ditandingi calon Umno menang kecuali parlimen Bandau dimana calon BN-Umno Dato Yahaya Lampong tewas tipis 114 undi kepada calon PBS Datu Amir Kahar Tun Mustapha.
5. Pada PRU 1999, Umno sekali lagi memilih Datuk Salleh sebagai calon BN dalam persaingan 5 penjuru. Salleh mendapat 17,817 undi. Diikuti calon PBS Saidil Simoi 8601, Datu Bandira Datu Alang dari PAS 1515, Datuk Maidom Pansai calon Bebas 553 dan seorang calon Bebas Mul Marif 179. Kelebihan undi yang diperoleh BN sebanyak 9216. Selepas PRU 1999, PBS mengambil keputusan menyertai semula BN. Peristiwa itu berlaku pada tahun 2001 setelah Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru menggantikan Tun Mahathir.
6. Pada PRU 2004 Datuk Salleh Tun Said sekali lagi diberi kepercayaan pimpinan BN-Umno menjadi calon dalam pertandingan 3 penjuru. Salleh mendapat 19, 290 menewaskan calon Bebas James Baga 8869 dan calon parti SETIA Jack Giau 1515. Majoriti undi sebanyak 10,421.
7. Siapakah yang layak mewakili GRS di parlimen Kota Belud pada PRU akan datang? Apakah Umno dapat mengekalkan Kota Belud sebagai kerusi tradisi setelah gagal mempertahankannya pada PRU 2018? Apakah muka baru dan pemimpin muda wajar diberi peluang mewakili Umno, PPBM, STAR atau PBS untuk menarik sokongan pengundi baru seperti yang berlaku di Pintasan dan Tempasuk? Tiga lagi PRU 2008, 2013 dan PRU 2018.
Bersambung…