Anak Peter Anthony jalankan tugas Presiden KDM

parti-KDM.jpg

PENAMPANG: Pimpinan Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan tugas presiden parti itu yang ditinggalkan Datuk Peter Anthony akan digalas oleh anaknya, Priscella Peter.

Priscella yang juga timbalan presiden parti itu akan dibantu seorang lagi timbalan presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude berkata, keputusan itu sebulat suara dibuat dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dipengerusikan Wetrom, di ibu pejabat parti itu, di sini, pada Jumaat.

Katanya, keputusan itu dibuat demi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan, kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes Datuk Presiden.

“Ianya (keputusan) juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Datuk Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.

“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu hadapi setiap rintangan yang ada selepas ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Priscella, 27, merupakan graduan dari Universiti Curtain Australia dengan kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang perakaunan.

Willie berkata, mesyuarat juga turut memutuskan yang KDM kekal dengan pendirian sebelum ini, iaitu untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.

Katanya, segala perancangan parti termasuk yang dibuat Peter akan diteruskan.

“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat,” katanya lagi.

Sumber: SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top