KUDAT: Pengarah Urusan Norcy Beautylab telah dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Belia Negeri Sabah 2021 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pencapaiannya dalam dunia keusahawanan.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Norsiah atau lebih dikenali sebagai Norcy adalah anak jati Matunggong. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sains Makmal Klinikal (Kepujian) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Norcy pernah bekerja sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di Hospital KPJ selama beberapa tahun sebelum beralih ke dunia perniagaan.
Norcy juga pernah menerima pelbagai anugerah lain antaranya, penerima Anugerah Usahawan Sabah dan Anugerah Usahawan 100 ‘Most Outstanding Entrepreneur Sabah’ anjuran Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah pada 2019.
Menceritakan pengalaman serta cabaran dalam dunia perniagaannya di Matunggong, Kudat, Norcy berkata, beliau mula berniaga secara kecil-kecilan menghasilkan produk penjagaan kulit buatan sendiri pada tahun 2017, sebelum memiliki empayar sendiri yang dibina dengan kudrat wanitanya.
“Sebelum ada kilang ini, produk yang kami hasilkan hanyalah produk penjagaan kulit, penjagaan rambut dan penjagaan badan. Namun, kami juga telah menaiktaraf perkhidmatan kami, iaitu kami menghasilkan makanan dan minuman kesihatan jamu selain produk lain seperti hand sanitiser dan penyembur serangga,” kata Norcy.
Paling membanggakan, Norcy berjaya memiliki bangunan Makmal Memproses Produk Kosmetik sendiri di Matunggong, Kudat, di bawah pembiayaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada tahun 2019.
Norcy juga mempunyai matlamat jelas dalam memperkembangkan perniagaannya melalui makmal ini yang mengeluarkan produknya, Prebiotic Skincare dengan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Norcy Beautylab bukan sahaja makmal yang menawarkan peniaga di luar untuk menghasilkan produk kecantikan semata-mata, tetapi turut menawarkan kelas kosmetik, ujian produk, persijilan KKM, menjual bahan mentah berdasarkan produk yang ingin dihasilkan serta membuat kosmetik dan kelas pemasaran produk dalam penghasilan pembungkusan.
Ditanya apakah asas dan inspirasi beliau, Norcy berkata, beliau hanya ingin mengubah nasib diri dan keluarganya ke arah lebih baik dan terus maju ke hadapan.
Norcy turut komited dalam membantu melahirkan lebih ramai perintis belia dalam bidang perniagaan pembangunan dan penghasilan produk kosmetik.
Sehingga kini, Norcy telah membantu lebih 300 peniaga dari segi khidmat nasihat, latihan ataupun penghasilan produk mereka.
Beliau berharap, akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Kudat melalui perniagaannya.
Berita asal: Warta Oriental