AMK Sabah Bayangkan Tolak Kerjasama Dengan Warisan

raymond-ahuar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah memberi gambaran jelas bahawa tiada lagi kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar (gambar) berkata, beliau yakin pimpinan AMK Sabah dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan menolak kerjasama dengan Warisan untuk berdepan pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pimpinan cabang-cabang PKR Sabah sudah lama menolak kerjasama dengan Warisan namun, masih terikat dengan keputusan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Christina Liew yang masih ingin bersama Warisan.

“Pakatan Harapan (PH) Sabah akan bermesyuarat pada 12 April ini untuk membincangkan hala tuju kerjasama PH dengan Warisan.

“Saya berpendapat adalah lebih baik PKR membincangkan perkara ini di peringkat parti sebelum membawa keputusan parti ke dalam mesyuarat PH Sabah.

“Saya berharap Pengerusi MPN Sabah membuat keputusan bijak dan tidak membelakangkan pimpinan parti yang lain termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda,” katanya dalam satu kenyataan, dekat sini hari ini.

Ketua Cabang PKR Pensiangan ini berkata, beliau mengambil maklum mengenai keputusan Warisan untuk tidak lagi bekerjasama dengan PH secara rasmi. Perkara ini sudah dijangka sejak awal memandangkan Warisan mempunyai agenda tersendiri termasuk menjadi proksi Tun Dr Mahathir Mohamad di Sabah.

Keputusan PH mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekali gus mengetuai kempen PRU-15 memberi isyarat jelas bahawa PH semakin kukuh dan bersedia untuk bergerak sendiri tanpa parti-parti lain yang tidak jelas hala tujunya.

“Perlu diingat kepercayaan yang rakyat berikan kepada PH pada PRU-14 lalu adalah kerana manifesto dan janji PH ketika itu dan ini termasuklah mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Namun perkara ini tidak disenangi sekutu Tun Mahathir iaitu Warisan kerana Mohd Shafie juga berada dalam pertemuan tertutup sebelah pagi, sebelum berlakunya Langkah Sheraton.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai pengkhianatan Warisan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu menyaksikan tumbangnya kerajaan Warisan Plus yang dihukum rakyat,” katanya.

Untuk itu, PH tidak boleh mengambil risiko untuk bersama mereka yang memungkiri dan mengkhianati kepercayaan rakyat atau PH akan menerima hukuman yang sama seperti apa yang dialami Warisan pada PRN Sabah yang lalu.

Dalam PRU-14, PH bekerjasama dengan Warisan bagi membentuk kerajaan persekutuan dan negeri. Kemudian semasa PRN Sabah pada 26 September tahun lalu, PH Sabah masih bekerjasama dengan Warisan namun, gagal membentuk kerajaan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menerusi temubual radio baru-baru ini menyatakan tiada lagi kerjasama antara Warisan dengan PH dan perkara itu telah dijelaskan semasa mesyuarat terakhir bersama PH pada tahun lalu.- UTUSAN ONLINE

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top