Amisah Cadangkan Lebih Ramai Wanita Dilantik Terajui GLC

amisah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (dilantik), Datuk Amisah Yassin mencadangkan agar kerajaan negeri melantik lebih ramai wanita menerajui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah untuk memperkasakan golongan tersebut.

Katanya, pemimpin dalam kalangan wanita masa kini juga mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam mentadbir dan melaksanakan amanah yang diberikan.

Katanya lagi, suara wanita perlu diwakili di pelbagai peringkat, sama ada di peringkat jemaah menteri sehinggalah ke peringkat akar umbi seperti ketua kampung dan wakil mahkamah anak negeri.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Menurut Amisah lagi, Kerajaan Sabah juga boleh mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat di peringkat negeri seperti yang telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Pelbagai usaha boleh dilakukan melalui kementerian ini dan ia boleh berfungsi sebagai wadah kolektif suara wanita dari pelbagai kepakaran untuk menyumbang buah fikiran demi kebaikan pembangunan negeri dan negara.

“Saya juga ingin mencadangkan agar sebuah Bank Pembangunan Wanita diwujudkan sebagai mana yang dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia iaitu Datuk Seri Rina Harun, yang mana ini akan dapat membantu dan menyokong secara inklusif golongan wanita terutama dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya lagi.

Jelas Amisah lagi, kerajaan juga boleh mencari satu pendekatan bagi menangani masalah ibu tunggal yang gagal memohon di Projek-Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Mereka wajar diberi peluang dan menikmati bantuan yang disediakan oleh kerajaan kerana kita kuatir, jika golongan ini tidak dibantu, mungkin masalah lain akan timbul seperti masalah kesihatan dan pendidikan bagi anak-anak mereka yang mampu menyumbang kepada pertambahan masalah sosial atau jenayah,” tambahnya.

Amisah turut mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan satu pelan tindakan komprehensif dan inklusif khasnya bagi warga emas dengan memberikan sumbangan dan menghabiskan sisa kehidupan mereka dengan selesa dan produktif.

“Penjagaan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan, sokongan sosial dan kasih sayang juga perlu dititik-beratkan dalam penjagaan wargamas.

“Selain itu, kanak-kanak autism juga perlu dibantu dan untuk tujuan ini, kerajaan boleh memberikan perhatian bagi meringankan bebanan ibu-bapa anak-anak istimewa ini dari segi kos perkhidmatan hospital khasnya bagi tujuan terapi pertuturan dan komunikasi,” ujar beliau lagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top