Ambil Tindakan Tegas Pertahan Kedaulatan Maritim Rantau Ini – Jeffrey

Dr-Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan bahawa ia menghormati Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia dengan mengambil tindakan lebih tegas dalam mempertahankan kedaulatan maritim rantau ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

“Kerajaan persekutuan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap sebarang ancaman luar bagi memastikan kedaulatan maritim negara, khususnya Sabah, dipertahankan.

“Sabah secara langsung terdedah kepada konflik berterusan yang berpunca daripada banyak tuntutan kedaulatan yang bertindih ke atas pulau, terumbu dan batu di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan tuntutan konflik di Laut China Selatan dari semasa ke semasa.

“Saya mendapati ancaman terhadap kedaulatan maritim Sabah membimbangkan sejak akhir-akhir ini memandangkan ia berada di barisan hadapan dalam isu tuntutan bertindih.

“Ini memerlukan campur tangan yang lebih serius daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertahanan dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Pencerobohan yang melibatkan aset tentera China di Laut China Selatan bukanlah perkara baharu.

Sepanjang 2021, Tentera Laut Diraja Malaysia telah melaporkan 23 kes di Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) negara. Kejadian ini nampaknya bermula pada tahun 2013.

Jeffrey juga menegaskan bahawa ancaman terhadap kedaulatan maritim negara menjejaskan ekonomi.

Sejak tahun lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim China dilaporkan telah menceroboh Kawasari, sebuah platform gas di luar pantai Sarawak, dan menjejaskan kerja-kerja yang melibatkan pembangunan operasi minyak dan gas baharu negara oleh Petronas.

Gangguan berterusan oleh 300 kapal maritim China yang meronda di Laut China Selatan turut menjejaskan aktiviti menangkap ikan nelayan kecil di Sabah.

Berita asal: Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top