KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menjual atau memakan kerang-kerangan dari perairan Sungai Yayasan Sabah, Likas kerana kawasan itu telah dikenal pasti mengandungi toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) mencecah paras berbahaya.
“Paras toksin PSP yang tinggi telah dikesan di perairan Sungai Yayasan Sabah,” menurut surat daripada jabatan itu kepada pihak berkuasa perikanan daerah pada 25 Jan.
“Sehubungan itu, anda dinasihatkan supaya mengeluarkan surat amaran kepada pegawai daerah, ketua kampung dan mana-mana pihak yang berkaitan supaya melarang menjual dan memakan sebarang jenis kerang,” katanya.
Pihak berkuasa perikanan daerah juga diminta menghantar sampel kerang dari kawasan tersebut sehingga paras toksin berada pada tahap selamat.