Amanah Saham Sabah Umum Pendapatan Kasar RM69.751 Juta

rosnah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Saham Amanah Sabah (SAS) mengumumkan berjaya memperolehi pendapatan kasar RM69.751 juta pada tempoh berakhir 12 Ogos 2021.

Pengerusi SAS, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pendapatan diperolehi  daripada pelbagai sumber, termasuk pelaburan SAS dalam pasaran saham (92.09 peratus), penerimaan dividen (6.79 peratus) dan pasaran kewangan (1.12 peratus).

Katanya, setelah mengambilkira jumlah perbelanjaan pengurus, peruntukan cukai dan pembayaran Pengagihan Pendapatan Interim Pertama sejumlah RM51.710 juta, keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit ialah RM13.540 juta.

“Selaras dengan pencapaian ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Pengagihan Pendapatan Interim Kedua SAS untuk tahun 2021 pada kadar 1.00% atau 1.00 sen se unit bersih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pengagihan pendapatan pada kadar 1.00 sen se unit ini melibatkan pembayaran berjumlah RM12.852 juta.

Katanya, jumlah pengagihan pendapatan ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 2.87% berdasarkan nilai aset bersih SAS pada 2 Januari 2021, iaitu RM0.3479 se unit.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarka kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh pelabur sebanyak 1,285,240,000 unit pada 12 Ogos 2021, iaitu tarikh terakhir layak menerima pengagihan itu.

Menurutnya, pengagihan pendapatan yang diisytiharkan ini akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan kedalam akaun pelabur.

“Dengan perisytiharan Pengagihan Pendapatan Interim Kedua sejumlah 1.0 sen seunit ini dan Pengagihan Pendapatan Interim Pertama sejumlah 4.20 sen seunit, SAS telah mengisytiharkan sejumlah 5.20 sen seunit bagi tahun 2021 yang merupakan pulangan pendapatan sebanyak 14.95 peratus.

“Selama beroperasi 27 tahun, termasuk pengagihan pendapatan ini, SAS telah mengagihkan pendapatan tunai sebanyak 24 kali melibatkan pembayaran sejumlah RM707.794 juta (bersih) atau 95.77 sen se unit (95.77%).

“Pada tahun 1996, SAS telah mengagihkan unit percuma (bonus) pada kadar 3 unit setiap 10 unit dipegang dan telah memperoleh agihan pendapatan bersamaan dengan 24.83 peratus memberikan pulangan keseluruhan sebanyak 120.60 peratus,” katanya.

Rosnah berkata, bagi memudahkan pembayaran pengagihan pendapatan itu, semua urus niaga SAS akan digantung mulai hari ini (13 Ogos) sehingga 16 Ogos 2021.

Urus niaga SAS akan di sambung semula pada hari Selasa, 17 Ogos 2021.

Beliau juga berkata Saham Sabah Berhad selaku pengurus Skim SAS akan terus berusaha untuk menjana pulangan yang berpatutan selaras dengan objektif pelaburannya.

“Saya ingin menjemput bakal-bakal pelabur dan pelabur sedia ada terutamanya agensi kerajaan negeri yang mempunyai kecairan untuk melabur, tampil ke hadapan memandangkan masih ada lagi unit SAS yang boleh dilanggan,” katanya.

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top