Amalkan Gaya Hidup Sihat, Jadi Generasi Berkualiti – Bung Moktar

Bung-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Golongan belia di negeri ini digesa mengamalkan budaya hidup sihat agar menjadi generasi muda berkualiti serta dapat membantu dalam pembangunan dan kesejahteraan negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, untuk memacu pembangunan, negara perlu memiliki generasi muda sebagai pemimpin pelapis yang berkualiti dan sihat dari segi minda dan fizikal.

“Selain meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, generasi muda hari ini perlu terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, sukan dan aktiviti riadah. Golongan belia yang merupakan pemimpin pelapis negara perlu memiliki kualiti dari segi pendidikan, minda dan fizikal,” katanya ketika berucap dalam majlis ringkas penyerahan 50 buah basikal sumbangan Kementerian Belia dan Sukan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di sini pagi semalam.

Ketua UMNO Sabah itu berharap agar Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di semua bahagian di negeri ini dapat mengatur serta melaksanakan pelbagai program riadah kepada golongan belia sebagai platform untuk mendekati golongan ini.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat penting sebagai salah satu usaha mengelakkan mereka terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Kita jangan lupa mereka juga merupakan bakal pengundi pada pilihanraya umum akan datang, justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu dilakukan antaranya melalui program-program riadah atau penganjuran pelbagai jenis sukan kepada golongan ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Bung mengesa golongan belia di negeri ini melibatkan diri dalam kegiatan persatuan atau kelab sukan di sekitar kawasan masing-masing.

Menurut beliau, penglibatan belia dalam aktiviti berpersatuan mampu mendidik mereka bergaul dan bertukar-tukar pandangan untuk memajukan golongan belia di kawasan masing-masing melalui beberapa bidang yang sesuai dengan minat mereka.

“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, kemudahan dan program program kepimpinan keusahawan dan lain lain yang perlu dimanafaatkan sepenuhnya oleh golongan belia” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Muhammad Suryady Haji Bandy, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Datuk Dr. Fadilah Sarbi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top