Allahyarham Tun Sakaran, Tokoh, Ikon Yang Disegani – Bung Moktar

Bung.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata bekas Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai sebagai satu kehilangan tokoh yang amat disegani di negeri ini dan pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada negeri dan negara.

Katanya, Allahyarham telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam pembangunan negara khususnya di Sabah yang merangkumi pelbagai aspek sosio ekonomi, politik, kebajikan dan agama.

“Allahyarham telah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjayanya,sama ada dalam perkhidmatan awam, politik dan dakwah di negeri ini, pemergian beliau sudah tentu  dirasai oleh rakyat di negeri ini,”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah, dalam bidang politik Allahyarham Tun merupakan seorang tokoh yang berperinsip dan setia kepada perjuangan  parti

“Saya pernah berkerja  di bawah kepimpinan Allahyarham sebagai Ketua Menteri, pendekatan sederhana dan mesra rakyat yang menjadi amalan beliau membuatkan Allahyarham bukan sahaja disegani tapi  disayangi oleh rakyat,” katanya.

Dalam bidang agama pula Bung berkata Alllahyarham Tun Sakaran adalah ikon yang boleh dijadikan contoh dalam aktiviti dakwah  terutamanya usaha untuk  mengembangkan syiar islam di negeri ini melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang beberapa panggal beliau pernah terajui sebagai Yang Dipertua.

“Saya bersama kepimpinan Umno Sabah  merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga rohnya dicucuri rahmat,” tambah Bung.

Tun Sakaran, 91, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi ini di Hospital Gleneagles  susulan dijangkiti Covid-19. Jenazah telah diuruskan di Masjid Negeri dan  dimakamkan di Makam Pahlawan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top