Sekumpulan wanita kaum Murut sedang menaiki kapal terbang di lapangan terbang kecil Keningau pada tahun 1954.
Ketika ini pengangkutan udara sudah semakin popular di Sabah. Ia dikendalikan secara usaha sama oleh Malayan Airways Ltd dengan kerajaan Borneo Utara. Pesawat yang digunakan adalah daripada jenis Havilland Rapide.
Pada 1955 terdapat tiga jenis pesawat jenis ini menjalankan perkhidmatan di Borneo Utara. Pada tahun yang sama perkhidmatan penerbangan turut diperluas ke Brunei dan Sarawak.
Selain daripada itu perkhidmatan penerbangan Dakota yang juga dikendalikan oleh Malayan Airways Ltd mengadakan penerbangan antara Singapura – Borneo Utara sebanyak tujuh kali seminggu, lima berakhir di Sandakan dan dua lagi di Jesselton.
Bagi penerbangan ke Australia, Filipina, Indonesia, Hong Kong dan Jepun, perkhidmatan disediakan oleh Qantas Airways, Cathay Pasific Airways dan Garuda Airways. Kesemua operasi penerbangan itu berpusat di Lapangan Terbang Labuan.