KOTA KINABALU: Tindakan pegawai keselamatan membelasah penghantar barangan berasal dari Sabah dalam kejadian di Kuala Lumpur, baru-baru ini atas alasan perbezaan loghat disifatkan pencabulan terhadap integrasi nasional.
Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda berkata, alasan pegawai keselamatan itu tidak boleh diterima kerana rakyat Malaysia seharusnya tahu perbezaan loghat di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Menurutnya, beliau kecewa dengan insiden itu dan mahu pihak polis meneruskan siasatan sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, tindakan kekerasan pegawai keselamatan terhadap penghantar makanan terbabit dan diskriminasi kepada orang Sabah adalah sangat memalukan dan tidak boleh diterima.
“Bayangkan kita sudah merdeka lebih 60 tahun, tetapi masih ada tidak tahu bahasa (percakapan penghantar makanan) itu dari Sabah, jadi ini satu perkara yang perlu diambil serius.
“Saya sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, sangat kecewa dengan tindakan pegawai terbabit dan juga diskriminasi yang berlaku dalam kejadian ini.
“Jadi, saya mahu pihak polis meneruskan siasatan terhadap insiden ini supaya ia tidak berulang lagi,” katanya dalam video TikToknya mengenai insiden itu.
Katanya, beliau memandang serius perkara itu kerana menganggapnya satu pencabulan terhadap integrasi nasional kerana rakyat Malaysia perlu memahami kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung. – HMetro