Aktiviti Moreh, Berbuka Puasa Penyumbang Kluster Baharu Di Sabah

Covid-screening_DG.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Aktiviti moreh dan berbuka puasa dikenal pasti menjadi penyumbang kepada dua kluster baharu COVID-19 di Sabah, pada Sabtu.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, dua kluster tersebut adalah Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu dan Kluster Umas di Kalabakan.

“Dalam kes Kluster Jalan Kilang Dua, Lahad Datu, penularan jangkitan dipercayai berlaku akibat penggunaan tempat yang tertutup dan sempit ketika para pekerja berbuka puasa.

“Manakala bagi Kluster Umas, Kalabakan pula, hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan aktiviti di masjid seperti berbuka puasa dan pengagihan moreh bersama AJK masjid.

“Kedua-dua kluster ini, pengesanan kontak rapat serta punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan harian COVID-19 Sabah.

Untuk perkembangan berasingan, Masidi berkata, dua lokaliti terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di Sabah.

Ia adalah melibatkan lokaliti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu.

“Untuk jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 64 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,200 kes.

“Sementara satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top