Aktivis Sabah Kumpul Telefon Pintar Bantu Murid Yang Memerlukan Ikuti Kelas Dalam Talian

rebecca-chin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rebecca Chin (gambar) kembali lagi. Selepas misinya membuat penghantaran makanan kepada pekerja kesihatan yang bertungkus lumus menjalankan tugas di Sabah, beliau kini menggunakan kebolehannya untuk membantu golongan lain yang memerlukan.

Aktivis itu mengumpulkan telefon pintar terpakai untuk diberikan kepada keluarga yang tidak berkemampuan bagi menyediakan kemudahan elektronik untuk anak-anak mereka mengambil bahagian dalam pembelajaran dalam talian.

Chin, berusia 60-an, berkata, beliau tersentuh setelah membaca masalah dihadapi banyak keluarga seperti dilaporkan oleh FMT baru-baru ini tentang sebuah keluarga di sebuah kampung terpencil di daerah Kudat.

Selama setahun yang lalu, seorang ibu membawa anak-anaknya ke puncak bukit untuk mendapatkan isyarat internet supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian.

Kesemua anaknya sebelum ini hanya mempunyai satu telefon pintar yang dikongsi bersama untuk mengikuti kelas.

“Setelah membaca begitu banyak artikel dan mendengar cerita mengenai keadaan keluarga ini, saya percaya pasti ada sesuatu yang dapat dilakukan untuk menolong mereka,” kata Chin kepada FMT.

“Saya bersimpati dengan ibu ini, dan semua ibu lain. Bayangkan anda harus melakukan semua ini selama setahun dan masih belum mengetahui bilakah keadaan akan kembali ‘normal’.

“Jadi jika kita dapat menolong sedikit dengan mengisi keperluan berkongsi satu telefon di rumah dalam kalangan beberapa orang anak, maka kita mencapai beberapa kebaikan,” katanya.

Setakat ini, Chin berjaya mengumpulkan empat telefon pintar sejak Selasa lepas, dengan yang pertama disumbangkan oleh anaknya Brendan Wong.

“Mesti ada ratusan orang yang memerlukannya. Apabila sudah cukup nanti, saya akan menghubungi NGO berkaitan untuk membantu mengenal pasti dan mengedarkan telefon tersebut,” katanya.

Chin juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dan guru bagi mengenal pasti keluarga yang kurang berkemampuan.

Aktivis itu memuat naik makluman mengenai inisiatif di media sosial dan dikongsi oleh pengguna lain.

Dalam usaha menyokong Chin, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mengadakan kutipan derma untuk mengumpulkan alat telekomunikasi serta wang tunai dan disalurkan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik.

“Luluh hati kami apabila menyedari terdapat banyak orang di Sabah yang perlu menempuh kesulitan hanya untuk mendapatkan pendidikan, terutama semasa Covid-19 kali ini,” kata presiden SLS, Roger Chin. – FMT

 

Foto: The Star


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top