Akar Umbi Sokong Robert Tawik Pertahan Bingkor

robert.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bingkor menerima penyertaan 222 pengundi tidak berparti untuk menyokong pencalonan semula penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Robert Tawik (gambar).

Robert ketika menerima penyertaan kalangan pengundi beberapa kampung dalam mukim Bingkor itu berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan akar umbi untuk meneruskan gerak kerja membantu masyarakat.

“Kalangan pengundi datang dari pelbagai kampung menyatakan pendirian menyokong STAR,” katanya selepas menerima borang berkenaan yang disampaikan Badi Egai dari Kg Tangkongon.

Para pengundi berkenaan merupakan penduduk Kampung Pogun Ontolob, Bandukan Lama, Minansut Tandian, Tangkongon Naidat, Bandukan Baru, Tuntumolod, Bunsit dan Kg Buang Sayang.

Pemerhati politik, Paul Ukau berpendapat peluang calon STAR pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk mempertahankan DUN Bingkor adalah cerah berdasarkan gerak kerja yang disenangi pelbagai lapisan masyarakat akar umbi.

“Umumnya, pengundi di Bingkor mahukan wakil rakyat yang berjiwa rakyat, peka dan responsif dalam memahami keperluan rakyat, bukan hanya tumpuan kepada janji manifesto tapi juga masalah berbangkit,” katanya.

Paul menegaskan, sikap pengundi juga dilihat rata-rata mahukan calon parti yang rapat dengan kepimpinan kerajaan Pusat.

Tinjauan umum menunjukkan DUN Bingkor bakal menyaksikan pertandingan lebih enam penjuru yang melibatkan STAR, PBS (PN), WARISAN Plus (DAP, PKR, UPKO), BERSAMA, PCS, UMNO dan LDP.

Menurut Paul, perkembangan terbaharu sokongan rakyat kepada STAR agak menggerunkan parti-parti lain yang mahu bertanding merampas DUN Bingkor dari penyandangnya Robert yang merupakan anak jati tempatan berbangsa Dusun Gana.

Dalam pilihan raya umum lalu, Robert menang DUN Bingkor dalam pertandingan enam penjuru dengan memperoleh majoriti tipis 165.

Robert (STAR) memperoleh 4,552 undi, Peter Allion (BN-PBS) 4,387, Peter Dhom Saili (PH-DAP) 4,233, Dr Oswald Aisat Igau (Anak Negeri) 290, Datuk Justin Guka (Bebas) 182 dan Thomas Anggan (PKS) 69.-Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top