Ajaran ‘Wali Tujuh’ Dikhuatiri Ancam Keselamatan Sabah – Arifin

Arifin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menyatakan ajaran meragukan dibawa kumpulan ‘Wali Tujuh’ yang didakwa mengamalkan ilmu batin dan kebal dikhuatiri mampu menimbulkan ancaman keselamatan ke atas Sabah.

“Itu tidak mustahil (ancaman keselamatan) dan sebab itu kita perlu penjelasan kerana tidak mahu ada nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

“Kebiasaannya yang bertentangan agama ini mudah menjadi ekstrem serta menyeleweng daripada akidah sehingga boleh melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya.

“Ini adalah kelebihan pegangan berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana. Apabila mengikut ajaran al-Quran dan sunnah, kita tidak akan melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia Ke-40 di Surau Al-Abid, di sini, malam tadi.

Turut hadir Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Mufti Sabah mengenai tindakan susulan berkaitan ajaran ‘Wali Tujuh’ berikutan penahanan tiga pengikutnya, baru-baru ini.

“Bahagian penguat kuasa dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS daerah sudah diarahkan untuk membuat siasatan mengenai ajaran sesat berkenaan.

“Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat Mufti untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung dengan ajaran terbabit.

“Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan di bawah enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya. – Hmetro


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top