Ajaran PMYT Dakwa Perang Dunia Ketiga Akan Bermula Di Sabah

perang-dunia-3.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Menggunakan gelaran Sittah Annur, seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita itu yang dikaitkan dengan usaha mengembangkan ajaran diasaskannya dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Individu berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW serta merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Sumber keselamatan mendedahkan, kumpulan PMYT pimpinan wanita itu kini diikuti sehingga 3,000 pengikut.

“PMYT dikesan sudah mewujudkan 22 kumpulan Telegram di seluruh negara dan pengikutnya kini kian bertambah saban hari. Pengikutnya bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan sebaliknya ada golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah dan guru.

“Lebih membimbangkan, ada pesara kerajaan dan anggota polis serta tentera juga menjadi anggota kumpulan itu yang dikhuatiri akan dimanipulasi untuk perkara berbahaya rentetan mereka ini terlatih kepada penggunaan senjata api,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kumpulan PMYT itu kini sudah menggerakkan anggota untuk menyediakan peralatan seperti alatan memburu, cangkul dan makanan di beberapa negeri bersempadan di utara tanah air sebagai persediaan jika peperangan tercetus.

“Sittah Annur juga sudah menyenaraikan lokasi tertentu untuk anggotanya dari Malaysia dan Nusantara termasuk Indonesia serta Brunei bergerak apabila peperangan tercetus sebagai tempat berlindung, berkumpul sebelum bergerak memerangi musuh,” katanya.

Tambahnya, antara negeri yang dimaksudkan seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa Sittah Annur sebagai kubu pertahanan mereka memerangi musuh sebelum menggerakkan pasukannya mencari Imam Mahdi.

Wartawan Skuad Khas Harian Metro sudah meneliti ucapan dan pelbagai ramalan Sittah Annur di platform media sosial digunakannya mendapati dakwaannya seperti dilaporkan.

Semakan di YouTube mendapati sekurang-kurangnya saluran digunakan wanita terbabit sudah mendapat lebih 2,000 langganan dan terdapat 74 video sudah dimuat naik wanita terbabit.

Video perkongsian wanita itu berkaitan peperangan, pertemuannya dengan Nabi Muhammad SAW secara purata ditonton antara lebih 1,000 hingga 48,000 tontonan. Sementara di FB, wanita itu diikuti lebih 4,900 rakan.

 

Baca seterusnya di: Harian Metro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top