KOTA KINABALU: Mulai minggu depan, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia akan menyambung semula penerbangan langsung ibu negeri ini ke Guangzhou dan Shenzhen di China, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.
Laluan Guangzhou-Kota Kinabalu akan bermula pada 2 Mac manakala penerbangan Shenzhen-Kota Kinabalu akan berlepas pada 3 Mac, menandakan sambungan langsung pertama antara Sabah dan China sejak pandemik Covid-19 yang menyebabkan operasi terpaksa dihentikan pada awal 2020.
Liew memuji usaha syarikat penerbangan itu untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa ke dua bandar raya China tersebut.
“Kami amat mengalu-alukan komitmen AirAsia untuk mengembalikan semula perkhidmatan penerbangannya ke tahap pra-Covid 19, sebagai menyokong usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan industri pelancongan di Sabah khususnya.
“Dengan inisiatif terbaharu untuk memulihkan penerbangan terus dari dua destinasi itu ke Kota Kinabalu, kami menjangkakan (akan berlaku) lonjakan pelancong dari China tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kekerapan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Guangzhou ialah empat kali seminggu (Rabu, Jumaat, Ahad, Isnin) dan empat kali seminggu dari Guangzhou ke Kota Kinabalu (Khamis, Sabtu, Isnin, Selasa).
Bagi laluan Kota Kinabalu-Shenzhen pula, kekerapan penerbangan adalah tiga kali seminggu (Khamis, Sabtu, Selasa) dan begitu juga sebaliknya dari Shenzhen ke Kota Kinabalu (Jumaat, Ahad, Rabu).