AirAsia Ride Lebarkan Sayap Ke Sabah

airAsia-Ride.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perkhidmatan e-hailing Airasia Ride telah melebarkan sayapnya ke Sabah sejak dua bulan lalu dengan seramai 350 orang pemandu yang sedang beroperasi sekitar pusat bandar raya ini dan Tawau.

Ketua Pegawai Eksekutif, Airasia Super App, Amanda Woo berkata, setakat ini terdapat 500 pemandu yang telah memohon namun, selebihnya masih menunggu proses pendaftaran.

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan diperluas ke daerah-daerah utama di Sabah secara berperingkat dan mereka menyasarkan seramai 3,000 hingga 5,000 pemandu yang akan menyertai pasukan Airasia Ride.

Sempena pelancaran ini, pemandu e-hailing yang berdaftar dengan Airasia Ride akan menjalani latihan bagi mendapatkan lesen PSV.

Perkhidmatan e-hailing ini membolehkan pemandu memperoleh pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM4,000 dengan insentif tambahan sehingga RM4,000 sebulan.

Malah, semua pemandu Airasia Ride dilengkapi dengan perlindungan insurans dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO.

Di samping itu, pemandu e-hailing yang mengekalkan pencapaian sebagai kapten selama tiga bulan berturut-turut berpeluang mendapat diskaun penerbangan sehingga 90 peratus.

Katanya, pemandu juga akan menerima 80 peratus daripada kadar tambang yang diperoleh.

Perkhidmatan AirAsia Ride di Sabah dilancarkan pada Isnin oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Menurut Woo pelancaran itu membawa AirAsia Ride selangkah lebih dekat kepada matlamatnya untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu Dr Jeffrey berkata beliau gembira dengan perkembangan syarikat itu kerana ia mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat dialu-alukan, kerana ia bukan sahaja mewujudkan persekitaran perniagaan yang berkembang pesat, tetapi juga menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam sektor ride-hailing untuk belia Sabah,” katanya semasa majlis pelancaran itu.

Kitingan berkata AirAsia telah memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan Sabah, terutamanya selepas pembukaan semula sempadan, dengan melancarkan semula beberapa laluan udara antarabangsa dan tempatan utama.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top