Air Sabah: Mohd Shafie diminta jumpa PM percepat peruntukan RM320 juta

IMG_20230809_031324.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU – Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diminta supaya tidak membuat tuduhan secara keterlaluan berhubung isu bekalan air di negeri ini.

Mohd Shafie yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang juga turut diminta untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempercepatkan peruntukan RM320 juta disalurkan kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu air di Sabah.

ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kenyataan bahawa pihak swasta yang menyediakan tangki air seolah-oleh menuduh kerajaan tidak mengambil peduli isu masalah bekalan air.

“Kerajaan sekarang bukan tidur, kita buat. Jadi tuduhan-tuduhan itu keterlaluan kalau tangki air swasta pun yang bagi. Di kawasan saya, ADUN yang bagi. Saya ingat ADUN yang lain pun mengeluarkan belanja juga, ini seolah-olah kerajaan langsung tidak peduli.

“Lagi satu, kita telah berusaha minta RM320 juta. Sebagai Kerajaan Perpaduan, sepatutnya Yang Berhormat menghadap Perdana Menteri percepatkan RM320 juta yang dijanjikan itu,” katanya mencelah ketika Mohd Shafie membahas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

RUU tersebut telah dibentang oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sebelum itu, Mohd Shafie dalam perbahasannya mempersoalkan keperluan kerajaan negeri yang memperuntukkan RM10 juta untuk membeli tanah sedangkan isu bekalan air menjadi keutamaan kepada rakyat Sabah ketika ini.

“Bekalan air bukan satu perkara yang kecil, kalau saya melihat dari segi peruntukan yang diberikan, ada peruntukan yang saya teliti iaitu menelan belanja sehingga RM10 juta untuk membeli tanah.

” Saya ingin bertanya, mengapa harus kita membeli tanah? Apa kesannya tanah ini yang perlu dibeli untuk membolehkan sistem penyampaian bekalan air kepada rakyat di Sabah ini dapat kita manfaatkan,” katanya.

Tambah Mohd Shafie, beliau sedar dan tahu dalam sesi soal jawab bahawa ada sedikit sebanyak keredaan (isu air) mungkin di Kota Kinabalu, tetapi bukan di Kota Kinabalu sahaja menjadi masalah, malah di seluruh daerah.

“Bukan hanya airnya bahkan bekalan. Bayangkan ini menampakkan kepada peringkat dunia kegagalan kerajaan yang tidak mampu untuk membekalkan air menjadi satu keperluan kepada rakyat Sabah ini sehingga kita bergantung kepada swasta.

“Tangki air itu pun kita bergantung dengan swasta. Takkan tidak ada paip, takkan tidak ada jabatan-jabatan di peringkat daerah yang telah diwujudkan sejak berpuluh tahun untuk ditambah baik.

“Ini yang membimbangkan kita, kalau tiada fokus dari segi pengurusan pentadbiran kewangan yang ada maka ini amat terbatas,” katanya. – Sinar Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top