LABUAN: Jabatan Perikanan Labuan menasihati penduduk di pulau bebas cukai ini supaya mengelak daripada memakan kerang-kerangan dari tanah besar Sabah, berkuat kuasa serta-merta.
Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili, berkata langkah itu susulan pengesanan fenomena air pasang merah berhampiran perairan Sepanggar.
“Kami akan memantau dengan teliti kemasukan kerang-kerangan dari Sabah melalui terminal feri kami, bagi mengelak kes keracunan kerang-kerangan paralitik (PSP).
“Memandangkan Jabatan Perikanan Sabah telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang ini, maka fenomena ini juga berlaku di Labuan disebabkan perairan Labuan termasuk dalam perairan Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Faizal Ibrahim berkata, keracunan kerang-kerangan paralitik adalah sindrom yang boleh dialami sesiapa sahaja jika mereka makan makanan laut yang tercemar disebabkan fenomena air pasang.
PSP boleh mengancam nyawa dan sering terjadi dalam masa dua jam pengambilan dan gejala termasuk kesemutan; terbakar; kebas; mengantuk dan lumpuh pernafasan.
“Air pasang merah boleh bertahan selama beberapa hari, minggu, atau bulan dan boleh berubah setiap hari disebabkan keadaan angin dan arus air…angin darat biasanya membawanya berhampiran pantai dan angin luar pesisir meniupkannya ke laut.
“Jangan makan moluska (kerang atau tiram) yang hasil daripada fenomena air pasang merah, kerana ia mengandungi toksin yang menyebabkan keracunan makanan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Sabah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan kerang dari perairan Kota Kinabalu dan Tuaran selepas air pasang dikesan berhampiran Pulau Sepanggar pada Jumaat lalu.
Pengarahnya, Azhar Kassim, berkata Jabatan Biosekuriti mereka mendapati sel pyrodinium bahamense dan margalefidinium polykrikoides dalam satu liter sampel melebihi paras berbahaya.
Katanya, sel itu merebak dengan pantas dan telah sampai ke Pelabuhan Sutera dan perairan Jeti Jesselton, Teluk Likas, dan Kepulauan Gaya dengan bacaan tertinggi dikesan berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Labuan pada April 2015 melaporkan dua kes (melibatkan dua nelayan tempatan dari Kampung Sungai Miri) akibat keracunan kerang paralitik berikutan fenomena air pasang merah di perairan pulau itu.
Air pasang merah dinamakan sedemikian selepas warna kemerahan dihasilkan plankton bertoksin dan hidupan laut tertentu yang memakan plankton tercemar sekali gus menyebabkan kematian di Sabah pada awal 1980-an.
Sementara itu, Azhar ketika dihubungi di Kota Kinabalu berkata, air pasang merah itu terdiri daripada bunga atau alga berbahaya yang boleh menyebabkan kematian besar-besaran hidupan marin dan beracun kepada manusia sehingga boleh menyebabkan kematian.
Azhar berkata, kandungan lebih 2,000 sel margalefidinium polykrikoides dalam satu liter boleh mendatangkan bahaya kepada ikan kerana ia melekat pada insang ikan dan mampu menyebabkan ia lemas.
“Ia adalah pyrodinium bahamense yang berbahaya apabila melebihi 800 sel seliter.
“Sel ini boleh hidup di dalam kerang dan menyebabkan keracunan makanan yang teruk. Gejala termasuk sakit kepala, loya dan sakit perut yang sangat serius,” katanya.
Beliau menasihatkan, individu yang termakan kerang dan mengalami gejala berkenaan, dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan. – Bernama