Air Keruh, Timbunan Pasir, Lumpur Jejaskan Bekalan Air Di Beaufort

bung-loji-air-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Air sungai terlalu keruh, gangguan pasir dan lumpur serta kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi merupakan punca utama isu bekalan air di daerah Beaufort dan sekitarnya yang terjejas sejak kejadian banjir bulan lalu masih berlarutan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tahap kekeruhan air mentah dari Sungai Padas yang sering melebihi had kemampuan rawatan Loji Rawatan Air (LRA) menyebabkan tiga LRA di daerah itu selalu dihentikan operasi.

Katanya, LRA Beaufort I, LRA Beaufort II dan LRA Limbawang terpaksa dihenti tugas antara dua hingga enam kali sebulan disebabkan keadaan air Sungai Padas yang terlalu keruh bagi mengelak kerosakan peralatan di ketiga-tiga loji terbabit.

“Loji terpaksa dihenti tugas jika air sungai terlalu keruh kerana ia menyebabkan kerosakan peralatan mekanikal pada pam dan penapis. Banjir yang kerap di Beaufort memburukkan lagi keadaan menyebabkan loji terpaksa ditutup purata 10 kali sebulan disebabkan kedua-dua situasi itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) yang mendesak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kerajaan negeri untuk mengatasi segera isu bekalan air yang menghantui penduduk daerah itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kejadian banjir yang berlaku bulan lalu di daerah itu turut mengakibatkan empat pam di LRA Beaufort I ditimbus pasir dan lumpur sedalam tiga meter yang turut merosakkan panel elektrik.

Katanya, keadaan itu menyebabkan LRA terbabit tidak dapat beroperasi pada tahap maksimum, manakala kerja pembaikan mengambil masa disebabkan alat ganti terpaksa ditempah dari luar Sabah.

Selain itu, katanya kadar NRW yang tinggi hingga mencapai 65 peratus turut memburukkan lagi masalah bekalan air yang dialami penduduk di daerah Beaufort dan sekitarnya.

“LRA Beaufort I dan LRA Beaufort II mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sehingga 60 juta liter air sehari (MLD) namun hanya 50 MLD mampu disalurkan pada masa ini disebabkan pelbagai gangguan dan kerosakan yang berlaku di LRA terbabit.

“Daripada 50 MLD itu pula, sebanyak 22.5 MLD dikenal pasti sebagai NRW, jadi yang sampai kepada pengguna ialah sebanyak 27.5 MLD,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata JANS sudah diarah agar melaksanakan penyelesaian jangka pendek dengan membina tangki pra mendapan di LRA Beaufort I dan LRA Beaufort II bagi mengatasi air keruh selain menggunakan bahan kimia yang boleh merawat masalah itu.

Pada masa yang sama, katanya JANS juga mencadangkan pengubahsuaian muka sauk di LRA terbabit bagi mengatasi masalah timbunan pasir dan lumpur, selain memastikan bekalan alat ganti loji sentiasa tersedia.

 

“Untuk penyelesaian jangka panjang pula, kita perlu membina takungan air sungai (ORS) untuk menstabilkan bekalan air mentah dan mengatasi masalah air keruh, banjir serta kemarau selain menyelesaikan isu NRW,” katanya.

Mengenai masalah paip pecah disebabkan kerja pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menjejaskan bekalan air penduduk di Weston, beliau berkata JANS sudah mengarahkan kontraktor untuk melaksanakan pembaikan selain mengeluarkan saman di atas kecuaian mereka.

Pada masa ini, katanya pembekalan air bersih di Beaufort sudah 80 peratus pulih dan dijangka pulih sepenuhnya selepas kerja pembaikan pam dan kabel elektrik di LRA Beaufort I siap dalam masa terdekat.

Selain daripada itu Bung menambah untuk jangka panjang kabinet telah pun meluluskan  kertas cadangan bagi mencari pendekatan baharu menangani masalah air di Sabah akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top