KOTA KINABALU: AirAsia Filipina merancang untuk mengadakan penerbangan terus ke Sandakan melalui salah satu destinasi pelancongan menarik di Filipina.
Ia sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua wilayah untuk memulihkan semula sektor pelancongan masing-masing.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, cadangan itu masih dalam peringkat kajian namun, jika ia berjaya dilaksanakan, itu satu peluang yang baik kepada Sabah.
Beliau berkata, rancangan AirAsia Filipina untuk memperkenalkan penerbangan terus ke Sandakan seiring dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mahu menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan sebagai lapangan antarabangsa.
“Namun, kita perlu menunggu AirAsia Filipina menjalankan kajian terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian laluan baharu ke Sandakan daripada Zamboanga, Mindanao mahupun Palawan.
“Mungkin penerbangan terus itu boleh melalui Tawau kerana ia begitu hampir dengan tapak selaman yang terkenal di seluruh dunia. Daerah Tawau dan Semporna menempatkan destinasi pelancongan yang menarik.
“Jadi, kita biarkan mereka menjalankan kajian dahulu sebelum memperkenalkan laluan baharu itu,” katanya dalam sidang akhbar bersama AirAsia Filipina kelmarin.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, ketibaan pelancong ke Sabah pada tahun 2019 adalah 4.2 juta dan pelancong daripada Filipina pula seramai 35,284 orang, berbanding 33,245 orang pada tahun sebelumnya.
Jafry berkata, kemasukan pelancong Filipina ke Sabah agak ramai kerana sebahagian daripada rakyat mereka telah berkeluarga dan bekerja di Sabah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Filipina, Ricky Isla berkata, susulan penerbangan Kota Kinabalu-Manila dibuka semula maka, mereka sedang melihat laluan lain yang berpotensi untuk diperkenalkan.
“Kami sedang mengkaji potensi destinasi lain seperti Manila-Zambonga-Sabah atau Manila-Puerto Princesa (Palawan) ke Sabah.
“Itu antara laluan yang mungkin boleh diperkenalkan secara terus ke Sandakan, Sabah. Bandar itu antara lokasi yang menempatkan ramai rakyat Filipina yang berada di Malaysia,” katanya.
Justeru itu, pihaknya akan mengadakan lawatan ke Zamboanga, Puerto Princesa ke Kota Kinabalu pada suku pertama tahun hadapan bagi mengkaji potensi laluan baharu tersebut.
Mengulas tentang pembukaan semula penerbangan Kota Kinabalu-Manila sejak 27 Mei lalu, Ricky berkata, pada peringkat awal kekerapan penerbangan hanya dua kali seminggu berbanding empat kali seminggu sebelum pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, apabila industri penerbangan pulih sepenuhnya, mereka akan melihat semula keperluan menambah kekerapan bagi laluan tersebut. – Borneo Today