Aidilfitri: Hanya 30% Kakitangan JBPM Sabah Dibenarkan Cuti

bomba.jpg
Kongsi Bersama

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hanya membenarkan 30 peratus daripada kira-kira 1,200 anggota dan pegawainya untuk bercuti untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, semua yang terbabit masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dipanggil semula sekiranya ada berlaku sebarang insiden besar yang memerlukan lebih ramai keanggotaan.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, semua pegawai dan anggota yang bertugas sepanjang musim perayaan ini dilakukan secara bergilir mengikut syif masing-masing.

Katanya, keputusan berhubung jumlah itu dibuat bagi memastikan pegawai dan anggota JBPM mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

“Pasukan bomba perlu bersiap sedia sepanjang masa untuk memberi respon secepat mungkin sekiranya diperlukan.

“Ia bukan saja meliputi tugasan bantuan kemanusian dan bencana seperti kebakaran tetapi juga meneruskan penugasan khas membabitkan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kamarulzaman berkata, JBPM Sabah memberi jaminan anggota bomba dan penyelamat adalah mencukupi di semua daerah untuk membantu jika berlaku sebarang kemalangan dan kebakaran di musim perayaan ini.

Sementara itu, Kamarulzaman menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bukan saja di jalan raya tetapi juga memastikan barangan elektrik di rumah tidak menjadi punca kebakaran.

Katanya, hasil kajian bomba, 30 peratus insiden kebakaran berpunca daripada masalah elektrik dan yang tertinggi berbanding punca api.

“Ini membabitkan kegagalan peralatan elektronik dan juga masalah pendawaian yang dikenalpasti punca kepada kebakaran.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika memasak dan juga menggunakan peralatan elektrik.

“Apa yang paling penting, jangan melakukan sebarang ubahsuai terhadap peralatan elektrik kerana ia juga salah satu punca penyebab kebakaran,” katanya. – Asia Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top