Ahmad Maslan Dicalonkan Sebagai Timbalan Speaker

ahmad-maslan-1.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan akan menamakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon tunggal untuk jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Malaysiakini melaporkan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ketika dihubungi, mengesahkan pencalonan tersebut.

“Ya, sah. YB Pontian dicalonkan bagi jawatan timbalan speaker,” katanya kepada portal berita itu.

Malaysiakini juga berkata pihaknya sedang menghubungi Ahmad bagi mendapatkan ulasannya tetapi setakat ini dia tidak menjawab sebarang panggilan.

Jawatan timbalan speaker kosong setelah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.

Azalina dilaporkan berkata, dia berharap pengundurannya membolehkan “reset” pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Bahkan, dia juga mengusulkan calon pembangkang mengisi jawatan berkenaan.

Namun, Nazri menolak cadangan tersebut.

“Kerusi timbalan speaker parlimen masih perlu diisi dengan calon kerajaan dengan kita tidak akan sesekali memberi jalan kepada calon pembangkang mengisinya,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Menurut Nazri, adalah difahamkan pembangkang akan mencadangkan ahli parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon timbalan speaker.

“Dalam isu ini, pembangkang tidak perlu cakap banyak kononnya kerajaan perlu lebih terbuka menerima calon mereka untuk mengisi jawatan timbalan speaker Parlimen.

“Ini kerana sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka sendiri pun langsung tidak beri ruang kepada kami sebagai pembangkang ketika itu,” katanya lagi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top