Ahli UMNO diminta tingkatkan iltizam cipta kecemerlangan

Bung.jpg

Datuk Seri Bung Moktar (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua ahli UMNO di Sabah diminta mengambil kesempatan diambang tahun baharu ini supaya menanam azam untuk terus berjuang mencipta lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, tahun baharu yang disambut esok perlu dijadikan pemangkin untuk terus berjuang dengan lebih kuat lagi.

Katanya, UMNO Sabah sudah melalui pelbagai cabaran getir termasuklah ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan dalam parti.

“Namun, dengan adanya pemimpin dan ahli parti yang masih berprinsip serta setia dalam perjuangan, maka UMNO Sabah kekal relevan dan masih berdiri kukuh.

“Sejarah tidak akan tercipta sekiranya UMNO tidak bergabung membentuk sebuah kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) lalu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna apabila sumbangan besar UMNO dinafikan dan selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk juga ternyata konsep itu tidak selaras dalam pemerintahan kerajaan negeri hari ini.

“Sebenarnya sejak awal pembentukan kerajaan negeri selepas PRN16, dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah ada kejanggalan walaupun dalam satu rumah.

“GRS dilihat seakan-akan menafikan sumbangan terbesar Barisan Nasional/UMNO dalam pembentukan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2024, di sini hari ini.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak gagal dalam ujian yang lebih besar pada masa akan datang.

“UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar kejayaan-kejayaan baharu untuk agama, bangsa dan negara.

“Cabaran yang ditempuhi sepanjang tahun 2023 bukanlah alasan untuk kita mengeluh dan tahun baharu ini pukulan gendang perang akan dipalu bagi memantapkan lagi persiapan PRN akan datang,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Sabah akan terus mendengar denyut nadi rakyat khususnya memperjuangkan isu-isu masalah infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang belum selesai.

“Kita melihat rakyat terus dimomokan dengan slogan yang hanya sedap didengar, tetapi hakikatnya masih menunggu tanpa kesudahan yang tuntas.

“Justeru, marilah bersama dengan rakan-rakan BN untuk terus bekerja keras dan gigih bagi mencipta masa depan Sabah yang lebih makmur,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top