Ahli UMNO Berhak Bersuara, Kemuka Bantahan – Ismail Sabri

ismail-sabri-2.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 termasuk berkaitan usul tambahan mengenai tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden berhak bersuara dan mengemukakan bantahan.

Memetik laporan Sinar, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut boleh dirujuk melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ismail berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan usul tambahan namun sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT), beliau akur dengan suara perwakilan.

“Saya sebagai (AMT) sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tetapi mana-mana ahli berhak berbuat demikian dan terserah kepada mereka.

“Bukan bawa ke mahkamah sebaliknya ke RoS. Keputusan parti tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah kerana tertakluk kepada Seksyen 18 C Akta Persatuan menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Dalam laporan sama, Ismail berkata berkata, usul yang dikemukakan dan diluluskan semasa PAU itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Perlembagaan parti menyebut dengan jelas pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.

“Walaupun PAU merupakan yang tertinggi dalam parti tetapi apa yang dilakukan dalam PAU tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Seperti di Parlimen, walaupun kita boleh gubal akta tetapi ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika bertentangan ia tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, tindakan menyekat ahli bersuara akan mendapat mendapat respons tidak baik daripada golongan muda yang kritis.

“Tindakan menyekat itu jelas apabila wakil pelajar daripada kelab UMNO luar negara yang memberi kritikan di twitter telah dihalang berucap.

“Tindakan ini memberikan tanggapan buruk dalam kalangan orang muda terutama melibatkan pelajar.

“Seolah kita tidak boleh ditegur, kalau tidak akan dikenakan tindakan. Dalam parti sudah jelas, siapa tegur akan pecat atau digantung,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top