Ahli perniagaan ugut Hajiji berkait lesen cari gali, dakwa sumber

hajiji-1.jpg

Pemuda Gagasan Rakyat Sabah sebelum ini berkata, video berkait skandal perlombongan di Sabah jelas menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor telah memutuskan untuk membatalkan lesen cari gali kerana wujudnya kartel.

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan skandal perlombongan cuba mengugut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk memaksanya meluluskan lesen cari gali, menurut sumber.

Sumber memberitahu FMT, ahli perniagaan yang identitinya dirahsiakan itu mengeluarkan beberapa ugutan jika lesen tersebut tidak diluluskan dan dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Ahli perniagaan itu juga menegaskan agar ugutan itu disampaikan kepada Hajiji.

“Beliau berulang kali menyatakan, jika lembaga pengarah tidak meluluskan lesen prospek untuk syarikatnya, dia akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjatuhkan kerajaan,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.

Bagaimanapun, jika Hajiji meluluskan lesen berkenaan, ahli perniagaan tersebut berjanji tidak akan ‘memusnahkan kerajaan’, sebaliknya akan memberikan sokongan penuh terhadap pentadbiran negeri, dakwa sumber itu.

“Walaupun diugut, Hajiji tetap dengan pendiriannya. Beliau juga tidak berganjak walaupun ahli perniagaan itu menawarkan wang,” kata sumber.

Menurut sumber itu lagi, tidak sampai dua bulan kemudian, video yang didakwa mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan skandal perlombongan timbul.

Pada Rabu, Pemuda Gagasan Rakyat Sabah berkata, video berkait kontroversi itu jelas menunjukkan Hajiji telah memutuskan untuk membatalkan lesen cari gali kerana wujudnya kartel.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat dakwaan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan dan beberapa Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal tersebut.

FMT sebelum ini melaporkan sumber mendakwa sebuah kartel di sebalik skandal itu memohon kira-kira 20 lesen cari gali antara 2022 dan 2024.

Dengan lesen itu, kartel yang dikatakan terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan bekas pengarah beberapa agensi negeri tersebut memperoleh hak melombong di tapak seluas 1,000,000 ekar secara keseluruhannya, dakwa sumber itu.

 

FMT/Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top