Ahli Parlimen Warisan Bersama Tengku Zafrul Bincang Soal PPN

warisan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah menekankan beberapa kewajaran bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 semasa pertemuan secara maya antara ahli-ahli parlimen parti bersama Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kelmarin.

Pertemuan tersebut yang membincangkan intipati-intipati penting untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan dihadiri oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) yang mewakili parti tersebut.

“Dalam perbincangan tersebut, kami menekankan beberapa kewajaran bagi Pelan Pemulihan Negara 2021 termasuk mewujudkan koordinasi, pengendalian dan pengurusan yang tersusun dan cekap bagi melancarkan urusan-urusan,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

Mereka berkata, pelaksanaan vaksinasi yang lebih cekap dengan proses pendaftaran harus dilakukan setelah selesai vaksinasi lengkap dua dos tanpa perlu bergantung sepenuhnya dengan sistem MySejahtera.

“Hal ini penting bagi mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi semua segmen rakyat di negeri Sabah.

“Program vaksinasi buat golongan pendidik dan pelajar di seluruh-sekolah di Sabah yang tertumpu kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman juga harus dipercepatkan,” kata mereka.

“Pergerakan rentas daerah dan negeri bagi mereka yang sudah melengkapi vaksinasi dua dos lengkap dengan sijil vaksinasi berdigital harus dijadikan sebagai piawaian pergerakan, dan perlu penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang bersifat praktikal melalui pemantaun daripada pihak Jabatan Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah dan daerah-daerah dengan mengambil kira penilaian-penilaian risiko tertentu,” tambah mereka.

Keduanya, beberapa pendekatan yang bersandarkan realiti dan sains berkenaan dengan pembukaan sektor perniagaan kecil seperti kedai runcit perlu dipertimbangkan secara terperinci.

“Kami juga menyampaikan rasa prihatin kami terhadap aspek pemudahcara bagi sistem bantuan tunai mahupun kredit bagi golongan-golongan yang terkesan dari aspek kelangsungan kewangan seperti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di daerah-daerah berisiko tinggi di negeri Sabah khususnya.

“Dan juga petani, nelayan dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktiviti pertanian dan perikanan sebagai sumber utama mata pencarian, dan pengusaha yang terlibat dalam rantaian pembekalan (supply chain) bagi sector pelancongan dan hospitaliti, khususnya di kawasan-kawasan pulau dan tempat tumpuan pelancong di negeri Sabah,” jelas mereka.

Ketiga, mereka juga mengingatkan Menteri berkenaan agar menyegerakan pelan lengkap bagi melancarkan segala bentuk pembangunan di negeri Sabah yang terencat disebabkan kecelaruan dan kekeliruan SOP yang dikuatkuasakan.

“Agihan peruntukan yang sewajarnya perlu diperkemaskan agar setiap proses kearah mewujudkan pembangunan fizikal yang meranqkumi capaian internet dapat diurustadbir dengan baik bagi mempercepatkan proses peralihan ke fasa-fasa pemulihan yang seterusnya.

“Perihal capaian internet di kawasan luar bandar yang masih rendah wajar diberi tumpuan serius kerana ia melibatkan pembangunan pendidikan anak-anak yang banyak dilaksanakan secara pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR),” kata mereka.

Selain itu, mereka juga mencadangkan agar Kerajaan dapat mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menggunapakai kaedah ‘carbon sequestration’ (penyerapan karbon) khususnya di Sabah yang merupakan pengelur utama minyak kelapa sawit dan koko di Malaysia.

“Kami berpandangan bahawa perbincangan tersebut merupakan suatu usaha bipartisan yang sewajarnya diberi penelitian dan pertimbangan agar tidak ada satu segmen pun tercicir dalam fokus kita untuk menjayakan PPN,” kata mereka, sambil menambah ahli-ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara Warisan juga akan membawa suara-suara rakyat di peringkat nasional dalam setiap sesi pembentangan di Parlimen yang akan bermula pada 26 Julai ini. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top