Ahli Parlimen Sokong Parlimen Dibuka

parlimen.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong pembukaan semula Parlimen manakala sebilangan lagi berharap tidak ada percubaan dilakukan untuk menukar kerajaan sedia ada.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam mengalu-alukan keputusan membuka semula Parlimen berharap tidak ada pihak yang akan menukar kerajaan sedia ada.

Bung Moktar

“Saya pasti tiada Ahli Parlimen yang akan melakukannya kerana ini bukan masa untuk menukar kerajaan kerana apa yang paling penting adalah untuk membantu kerajaan menghadapi isu yang ada di depan kita.

“Sekarang bukanlah masanya untuk bermain politik,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagaimana dilaporkan oleh FMT.

Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Agong sudah membuat keputusan yang betul untuk meminta kerajaan membuka semula Parlimen.

“Kita kembali kepada asas bahawa tiada percukaian tanpa perwakilan.

Nazri

“Bila anda mahu membelanjakan dana awam, anda mesti terlebih dahulu memanggil perbahasan Parlimen,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, memandangkan negara bawah darurat, membuka semula Parlimen adalah bawah bidang kuasa Agong.

“Kita ketika ini bawah darurat, kita tidak lagi berada bawah kerajaan tetapi Agong,” kata bekas menteri undang-undang itu.

Katanya, perkara itu tidak kelihatan bagus kepada kerajaan sekiranya Parlimen tidak bersidang secepat mungkin.

“Ia tidak bermaksud kami akan menentang apa yang kerajaan akan laksanakan. Ayuh kita berbincang isu untuk kesejahteraan rakyat,” tambah Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Rosol Wahid juga bersetuju dengan pandangan Agong.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, “Tiada apa yang hendak dibantah. Kita tunggu dan lihat bila,” katanya kepada FMT.

Semalam, ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata paling awal Parlimen boleh bersidang adalah pada September.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu dari DAP, Chan Foong Hin berkata, Agong telah mendengar suara rakyat.

“Sebenarnya, Agong konsisten dalam pendiriannya untuk meminta Parlimen bersidang. Hanya Perdana Menteri yang tidak memberikan maklum balas.

Setiausaha DAP Sabah itu berkata, beliau akan membangkitkan isu kadar vaksinasi yang perlahan di Sabah dan apa yang harus dilakukan kerajaan untuk mempercepatnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top