KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris (gambar, kanan) menafikan spekulasi beliau akan menyertai Parti Bangsa Malaysia.
“Tak betul,” katanya ringkas, kepada FMT ketika dihubungi. Satu kenyataan akan dibuat dalam masa terdekat berhubung spekulasi itu, tambahnya.
Terdahulu, sumber memberitahu FMT, Zakaria dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi (gambar, kiri) akan menyertai PBM hari ini (Ahad).
FMT sedang mengesahkan perkara itu dengan Mohamaddin.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PBM ketika dihubungi enggan mengesahkan spekulasi Mohamaddin dan Zakaria akan menyertai mereka.
PBM memaklumkan bahawa presidennya Datuk Larry Sng akan mengadakan sidang akhbar bersama Mohamaddin esok.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Mohamaddin berkata bekas menteri berkenaan akan mengumumkan menyertai PBM esok.
Satu jemputan ke sidang media khas oleh Mohamaddin juga telah dibuat semalam dan ia akan turut dihadiri Larry.
“Ya, dia akan umum esok (menyertai PBM), kita jumpa esok (hari ini),” katanya kepada FMT.
Ketika ditanya sama ada sidang media hari ini akan turut membabitkan wakil rakyat lain, sumber itu menafikan dan berkata hanya Mohamaddin terlibat. – FMT