Ahli Parlimen Kalabakan Santuni, Bantu Rakyat Menerusi Program Jelajah Rakyat

andy.jpg

Andi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dari golongan OKU.

Kongsi Bersama

KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy kini dalam siri Program Jelajah Rakyatnya yang dilancarkan awal Jun lalu sebagai inisiatif turun padang untuk menyantuni dan membantu masyarakat di seluruh kawasan Parlimen Kalabakan.

Program tersebut dibahagikan kepada 10 siri, di mana empat siri atau kawasan telah dilaksanakan setakat ini iaitu melibatkan Kampung Pasir Putih Baru, Sungai Tongkang Sebatik, Kampung Kalabakan dan Brumas.

“Program turun padang bertemu masyarakat setempat ini adalah cara supaya saya sebagai Wakil Rakyat dapat bertemu secara bersemuka, beramah mesra dan peka dengan nasib rakyat.

“Kita sedar, masih banyak yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan setiap permasalahan dan aduan daripada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Kalabakan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Rakyat di Ladang Brumas Sabah Softwoods Berhad (SSB), di sini, kelmarin.

Andi berkata, selain itu, program ini juga sebagai medium untuk menyampaikan mesej serta penerangan berkenaan isu semasa daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Banyak berita serta mesej yang diterima oleh rakyat ketika ini kurang tepat dan tidak betul terutamanya daripada media sosial, justeru, sebagai Wakil Rakyat, saya perlu turun padang memberi penerangan serta informasi khasnya berkenaan polisi kerajaan supaya masyarakat menerima berita yang tepat dan sahih.

“Masalah kemudahan asas contohnya, Kerajaan telah mengambil langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi masalah bekalan elektrik dan air di negeri ini,” katanya.

Andi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, Program Jelajah Rakyat ini juga bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang turut serta supaya masalah berkaitan boleh diselesaikan dengan segera.

“Kita berkolaborasi dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) supaya rakyat dapat maklumat terus daripada mereka.

““Selama program ini berlangsung, banyak rakyat terutamanya di kawasan Pedalaman dapat dibantu secara terus tanpa perlu datang ke pejabat agensi berkenaan,” katanya.

Andi berkata, setiap wakil rakyat perlu selalu turun padang melihat masyarakat atau penduduk di bawah supaya tiada yang terlepas mendapat bantuan daripada Kerajaan.

“Jangan hanya turun padang dan bertemu rakyat apabila mahu mencari undi atau mempunyai kepentingan politik sahaja,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat JKM Bahagian Tawau, Nurul Fadilah Abd. Hamid berkata, pihaknya menyokong penuh program sebegini dan akan berkolaborasi sekiranya dijemput.

Katanya, JKM mempunyai dana bantuan yang boleh disalurkan kepada golongan sasar terutamanya mereka yang disahkan menghidap penyakit kronik.

“Kita sememangnya menyalurkan perkhidmatan bantuan kewangan bulanan kepada pesakit dan golongan seperti ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak yang layak.

“JKM juga turut menyediakan perkhidmatan pinjaman katil ‘homeward’ untuk kegunaan pesakit yang berada di rumah,” katanya.

Nurul berkata, program Jelajah Rakyat ini adalah pendekatan yang baik kerana ia lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.

“Melalui program ini juga, kita boleh mendapatkan input dan maklumat daripada masyarakat akar umbi secara terus,” katanya.

Terdahulu, Andi menziarahi dan menyalurkan bantuan kepada pesakit, golongan OKU dan sekolah di Brumas.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Merotai, Mohamad Jalani Chacu; Ketua Bahagian Sumber Manusia SSB Tawau, Dalil Pakan dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top