Ahli Parlimen Jerantut Lapor Polis Terhadap Anwar

nazlan.jpg
Kongsi Bersama

JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong Presiden PKR membentuk kerajaan baharu.

Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) membuat laporan itu di Balai Polis Jerantut pada jam 5 petang semalam, lapor BH Online.

Katanya, dakwaan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali, kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa beliau membincangkan perkara itu.

Beliau menafikan pernah menanda tangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.

“Jika dia mendakwa saya menyokong beliau, itu satu pembohongan besar. Saya berdiri teguh dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan berpaling tadah,” katanya ketika ditemui BH.

Ahmad Nazlan mengulas penyebaran senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong Anwar membentuk kerajaan baharu termasuk beliau dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

Penyebaran senarai nama Ahli Parlimen itu katanya menimbulkan spekulasi dan tafsiran negatif ahli UMNO terhadap dirinya.

Anwar dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa ini.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen parti itu mengambil keputusan menyokong Anwar.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top