KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Aziz Abu Naim daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut KOSMO! ONLINE sokongan itu dinyatakan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial rasminya malam tadi.
Mohd. Azizi berkata, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang akan terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.
Menurutnya, perkara tersebut yang dipohon untuk dilaksanakan di Parlimen Gua Musang dalam tempoh penggal perkhidmatan beliau di kawasan tersebut.
“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
“Sejujurnya, saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Bersatu. Demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Anwar,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket Pas berjaya menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 163 undi.