Ahli Parlimen Gesa Tambah 28 Kerusi Di Sabah, Sarawak

Sabah-Sarawak.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, khasnya di Sabah dan Sarawak bagi menambah kerusi Parlimen, menjadi tumpuan wakil rakyat kedua-dua negeri itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kebanyakan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja berpendapat, persempadanan semula kawasan Parlimen wajar dilaksanakan bagi menjadikan komposisi agihan kerusi untuk dua negeri itu lebih seimbang.

Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mencadangkan sekurang-kurangnya 28 kerusi ditambah bagi kedua-dua negeri itu, sekali gus membolehkan kuota kerusi menepati 1/3 komposisi kerusi di Parlimen.

“Perkara ini juga mustahak dalam usaha melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia. Tambahan pula, ada kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak amat luas,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja.

Bangun mencelah perbahasan, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) menyokong cadangan itu dan memohon kerajaan melakukan persempadanan semula, terutama di Sarawak.

Mengambil contoh Parlimen Hulu Rajang, Wilson menyifatkan keluasan kawasan itu antara yang terbesar di Malaysia.

Turut menyokong, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang berkata, penambahan kerusi itu dilihat perlu bagi mencapai keseimbangan 1/3 kerusi di Parlimen untuk kedua-dua negeri berkenaan.

“Kita bercakap soal kesejahteraan sejagat, persamaan wilayah, pembangunan seimbang, tetapi ini bukan seimbang, bahkan berat sebelah. Betul, tidak ada 1/3 (kerusi) itu, justeru saya bersetuju dengan rakan-rakan lain untuk tambah 28 kerusi Parlimen di negeri-negeri ini,” katanya.

Ahli Parlimen lain yang turut membangkitkan perkara sama ialah Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong), Anyi Ngau (GPS-Baram) dan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kerajaan persekutuan memperhalusi cadangan pindaan kepada penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Ling berkata, persempadanan itu perlu dilaksanakan berdasarkan kepadatan penduduk berbanding keluasan kawasan.

“Kalau persempadanan baharu dilakukan, ia harus bergantung kepada orang (populasi) dan bukan keluasan kerana pengagihan kaum di Sarawak lebih kurang nisbah 30:30:30, iaitu Cina, kaum peribumi seperti Iban dan Dayak serta Muslim. Jadi, saya mencadangkan jangan persempadanan ini mengikut keluasan kawasan.

“Kawasan bandar adalah lokasi berkependudukan tinggi berbanding kawasan luar bandar. Jadi, saya mencadangkan kalau 1/3 kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah dan Sarawak, ia harus berdasarkan populasi supaya satu orang satu undi,” katanya.

Ketika ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, 56 kerusi di kedua-dua negeri itu, iaitu Sabah dengan 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi. Persidangan dewan bersambung hari ini. – FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top