Ahli Parlimen, ADUN PH Sabah Bertemu PM Bincang Pembangunan Negeri

PH-Sabah-PM.jpg

PM Anwar Ibrahim bergambar bersama Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah dalam pertemuan di pejabatnya hari ini. - Foto Media Ewon Benedick

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini, bagi membincangkan agenda pembangunan Sabah.

Pertemuan turut disertai dua menteri persekutuan dari negeri itu Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali.

Ewon yang juga Presiden UPKO dan Ahli Parlimen Penampang berkata pertemuan tersebut membincangkan komitmen Kerajaan Perpaduan mengenai agenda pembangunan di Sabah khusunya berkaitan dengan infrastruktur asas dan keusahawanan.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-60 penubuhan Persekutuan Malaysia. Justeru, kami memaklumkan kepada perdana menteri mengenai isi hati rakyat Sabah berhubung pembangunan dan tuntutan rakyat negeri itu agar kerajaan persekutuan dapat menyalurkan peruntukan yang lebih besar untuk mengatasi pelbagai keperluan pembangunan di Sabah.

“Perdana Menteri komited terhadap tuntutan rakyat ini dan kami berharap sambutan Hari Malaysia yang ke-60 tahun pada tahun ini memberi makna besar kepada seluruh rakyat Sabah dengan adanya kerajaan persekutuan baharu di bawah teraju pimpinan baharu iaitu Datuk Seri Anwar,” ujar Ewon dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir telah menyatakan pelbagai perkara kepada Perdana Menteri termasuk permasalahan di kawasan diwakili masing-masing, antaranya masalah bekalan air, jalan raya, sekolah daif, klinik kesihatan dan pembangunan keusahawanan.

Perdana Menteri juga menurut Ewon turut bersetuju mengadakan lawatan kerja ke Sabah bagi meninjau sendiri beberapa permasalahan rakyat dan dijangka membuat pengumuman-pengumuman penting berkaitan pembangunan negeri itu. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top