KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) Kapitan Stephen Teo mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Stephen yang juga mantan Bendahari Bahagian PBS Karambunai berkata, pihaknya beserta beberapa rakan dari bahagian itu memutuskan menyertai STAR setelah mengambil kira keadaan ahli-ahli parti berkenaan di bahagian itu yang tidak terjaga.
“Kami menyertai STAR bagi meneruskan usaha membantu ahli-ahli di Karambunai yang selama ini pernah bersama kami dalam PBS,” katanya.
Stephen yang juga Kapitan Cina Kota Kinabalu sejak Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyatakan demikian ketika bersama rakan-rakan menemui Dr Jeffrey di Ibu Pejabat STAR Sokid Villa di sini untuk menyerahkan borang keahlian ke dalam STAR.
Dalam pertemuan itu, Stephen turut menerima watikah pelantikan dari Dr Jeffrey sebagai Ketua Bahagian Penaja STAR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
Turut menyertai Stephen menyerahkan borang keahlian STAR ialah mantan Naib Ketua Bahagian PBS Karambunai Ponsius Solipat, mantan Setiausaha Bahagian PBS Karambunai WKAN Charles Arab dan mantan Ahli Jawatankuasa Bahagian John Kaltus Jintuil.
Dalam pertemuan itu, Dr Jeffrey meminta kepimpinan baharu STAR di Karambunai agar menjejaki penduduk kampung-kampung yang selama ini bernaung di bawah kepimpinan mereka untuk melihat keadaan dan memastikan mereka tidak terpinggir dalam memperoleh bantuan kerajaan.
Hadir sama dalam majlis ringkas itu ialah mantan Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua yang kini adalah Pengerusi Penerbangan Sabah dan mantan ADUN Tamparuli Edward Linggu yang kini adalah Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). – Utusan Borneo