Ahli kumpulan pertubuhan haram ditahan di Kota Kinabalu

armada-borneo.jpg

Polis menahan seorang ahli pertubuhan haram dikenali sebagai Armada Jalinan Borneo (AJB) dalam Op Cantas dijalankan kelmarin. -Foto: Ihsan Polis-

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang ahli pertubuhan haram berjaya ditahan dalam Op Cantas yang dijalankan di sekitar sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, lelaki warga tempatan berumur 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pertubuhan yang dikenali sebagai Armada Jalinan Borneo (AJB).

Katanya, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa barang pertubuhan berkenaan yang dipercayai menyalahi undang-undang mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) juga mendapati kumpulan ini tidak berdaftar.

“Pertubuhan ini dipercayai hanya ada di Kota Kinabalu dan Lahad Datu yang dipercayai menyalahi undang-undang,” katanya.

Azmi berkata, siasatan juga mendapati pertubuhan berkenaan kini mempunyai seramai kira-kira 10 orang ahli.

“Susulan penahanan ini, pasukan serbuan merampas sehelai baju berwarna hitam tertera logo kumpulan berkenaan dan nombor tujuh.

“Turut dirampas satu helai kertas tertera ikrar angkat sumpah majlis kumpulan berkenaan dan lapan keping borong permohonan keahlian kumpulan terbabit,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli kumpulan pertubuhan ini dan membabitkan jenayah kumpulan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top